AM

Malaysia Laksana Latihan Cegah Penyeludupan Radioaktif, Nuklear Rentas Sempadan

07/07/2025 03:50 PM

JOHOR BAHRU, 7 Julai (Bernama) -- Latihan lapangan membabitkan demonstrasi tindak balas agensi Malaysia dalam menangani kejadian penyeludupan bahan radioaktif atau nuklear rentas sempadan akan diadakan di Jeti Maritim Gelang Patah, Johor pada Khamis dengan kerjasama negara anggota ASEAN iaitu Indonesia, Thailand dan Singapura.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Atom Malaysia (Atom Malaysia), Monalija Kosto berkata latihan itu dilaksanakan di bawah Program Latih Amal Pelbagai Hala Sekuriti Nuklear Malaysia-Indonesia-Thailand-Singapura (MITSATOM) 2025, dan merupakan penganjuran kali keempat di Malaysia selepas kali terakhir diadakan di Sabah pada 2018.

Penganjuran kali ini bersempena Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN 2025, dengan Atom Malaysia turut menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi ASEAN Network of Regulatory Bodies on Atomic Energy (ASEANTOM), di bawah Pelan Strategik Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC).

Latihan itu bertujuan menguji keberkesanan pengesanan dan tindak balas negara anggota ASEAN dalam menangani kejadian keselamatan nuklear membabitkan penyeludupan bahan radioaktif atau nuklear rentas sempadan darat Malaysia-Thailand, Malaysia-Singapura serta sempadan laut Malaysia-Indonesia.

“Selepas tujuh tahun, kita mengadakan semula Latihan. Pada kali ini meliputi kedua-dua aspek, (membabitkan) sempadan darat dan juga laut. Jadi, kita dapat fokus secara komprehensif untuk mengekang penyeludupan bahan radioaktif (pada masa hadapan),’’ katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian MITSATOM 2025 di sini pada Isnin.

Turut hadir, Ketua Pengarah Atom Malaysia Noraishah Pungut serta Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin.

Monalija berkata senario latihan lapangan kali ini melibatkan usaha menyekat penyeludupan empat bahan radioaktif yang berjaya dikekang dan dikembalikan ke dalam kawalan pihak berkuasa, bagi menjamin keselamatan dan undang-undang.

‘’Bahan radioaktif ini kita kena dapatkan kembali, supaya ia berada dalam kawalan pihak berkuasa, sebab kita bimbang ia akan jatuh kepada orang yang salah dan tidak tahu mengenai bahaya bahan itu serta dikhuatiri mungkin digunakan untuk keganasan dan beri ancaman keselamatan kepada rakyat dan negara,’’ katanya.

Latihan lapangan kali ini turut menguji keberkesanan peralatan, sistem komunikasi serta mengesahkan pelan dan prosedur operasi selain menilai keupayaan anggota bertindak balas dalam menangani senario sebenar.

Selain itu, latihan simulasi atas meja atau tabletop exercise turut dijalankan bagi membincangkan isu-isu berkaitan senario serta simulasi kejadian kemalangan radiologikal dan nuklear.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan