JENAYAH & MAHKAMAH

Warga Emas Terlepas Tali Gantung, Dibebaskan Daripada Pertuduhan Bunuh Adik Ipar

07/07/2025 05:01 PM

PUTRAJAYA, 7 Julai (Bernama) -- Seorang warga emas hari ini terlepas tali gantung selepas Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan membunuh adik iparnya enam tahun lepas.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hashim Hamzah, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Muhammad Johari Ng Abdullah untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada Januari tahun lepas.

Hashim, yang menyampaikan keputusan sebulat suara panel itu, berkata keterangan mengikut keadaan yang dikemukakan semasa perbicaraan kes tersebut tidak cukup kukuh bagi mengekalkan sabitan terhadap Muhammad Johari.

“Oleh itu, kami mendapati sabitan adalah tidak selamat... justeru, sabitan dan hukuman diketepikan dan rayuan perayu dibenarkan,” katanya.

Susulan keputusan itu, Muhammad Johari, 66, mengucapkan terima kasih kepada panel berkenaan.

Muhammad Johari, yang juga seorang bekas pengawal keselamatan, telah dijatuhi hukuman mati kerana membunuh Nor Izzati Ghazali, 26, di sebuah unit di Apartment Villa, Jalan Temenggong 19, Off Jalan Sungai Jati, Klang, Selangor pada 2 petang 19 Feb 2019.

Pada prosiding hari ini, peguam Hafizuddin Salehuddin yang mewakili Muhammad Johari berhujah bahawa hakim perbicaraan gagal mempertimbang kemungkinan terdapat pihak lain terutama adik tiri mangsa yang terlibat dalam pembunuhan itu.

“Tiada kesimpulan kukuh bahawa perayu adalah individu yang telah menyebabkan kematian mangsa. Oleh itu, kami memohon agar mahkamah melepas dan membebaskan beliau,” katanya yang dibantu oleh Hilmi Zawawi.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Faizal@Amrin Noor Hadi berhujah bahawa hakim perbicaraan tidak terkhilaf dalam dapatannya dan memohon agar Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan serta hukuman itu.

Mengikut fakta kes, seorang jiran membuat laporan polis mendakwa Noor Izzati pernah mengadu kepada dia dan isterinya bahawa mangsa telah dipukul serta didera oleh Muhammad Johari. 

Bedah siasat mendapati mangsa telah mengalami 24 kecederaan di seluruh tubuhnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan