Oleh Ahmad Erwan Othman dan Ahmad Aidil Syukri Hamzah
KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Jawatankuasa Eksekutif Suruhanjaya Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ EXCOM) bermesyuarat pada Isnin bagi memuktamadkan persediaan penting menjelang Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan dari 8 hingga 11 Julai ini.
Mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin itu memberi tumpuan kepada semakan perkembangan pelaksanaan Pelan Tindakan Perjanjian SEANWFZ.
Turut dibincangkan ialah potensi penyertaan Timor-Leste dalam perjanjian berkenaan serta isu berpanjangan berhubung usaha mendapatkan penyertaan Negara Senjata Nuklear (NWS) ke dalam Protokol SEANWFZ.
“Penyertaan Timor-Leste akan meluaskan skop geografi bagi perjanjian tersebut.
“Ini satu aspek positif daripada penyertaan Timor-Leste sebagai anggota baharu dalam ASEAN,” katanya kepada pemberita di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Mesyuarat berkenaan dihadiri pegawai-pegawai kanan dari 10 negara anggota ASEAN manakala pegawai dari Timor-Leste sebagai pemerhati.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dijadualkan mempengerusikan mesyuarat Suruhanjaya SEANWFZ pada 3.15 petang esok.
Perjanjian SEANWFZ yang juga dikenali Perjanjian Bangkok, telah ditandatangani pada Disember 1995 di ibu negara Thailand oleh negara anggota ASEAN sebagai komitmen mengekalkan Asia Tenggara sebagai wilayah bebas senjata nuklear dan senjata pemusnah lain.
Perjanjian berkenaan berkuat kuasa pada Mac 1997.
Walaupun 10 negara anggota ASEAN telah meratifikasi perjanjian berkenaan, usaha mendapatkan tandatangan lima negara pemilik senjata nuklear diiktiraf iaitu China, Perancis, Rusia, United Kingdom dan Amerika Syarikat masih diteruskan.
Di bawah protokol berkenaan, setiap NWS perlu menghormati Perjanjian SEANWFZ serta tidak menyumbang kepada apa-apa perilaku yang merupakan pelanggaran kepada perjanjian dan protokolnya, tidak menggunakan atau mengancam menggunakan senjata nuklear terhadap mana-mana pihak selain tidak menggunakan atau mengancam menggunakan senjata nuklear dalam zon berkenaan.
Menurut laman web rasmi ASEAN, usaha sedang dijalankan ke arah penyertaan NWS ke dalam Protokol berkenaan.
AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, akan merangkumi 24 mesyuarat peringkat menteri, termasuk sesi libat urus bersama rakan dialog ASEAN dan rakan dialog sektoral.
Mesyuarat berlangsung selama empat hari itu dijangka menghimpunkan kira-kira 1,500 perwakilan terdiri daripada menteri luar ASEAN, Timor-Leste, rakan dialog ASEAN, negara yang menyertai Forum Serantau ASEAN (ARF), rakan dialog sektoral dan pegawai kanan Sekretariat ASEAN.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial