AM

Transformasi Felda, Agenda Utama Agar Terus Jadi Kebanggaan Negara - Ahmad Zahid

07/07/2025 06:58 PM

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Felda sedang melalui proses transformasi dengan menyusun semula kekuatan bagi menghadapi cabaran baharu, agar kekal relevan, mampan dan terus menjadi kebanggaan negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menerusi hantaran di platform X, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Felda tidak lagi hanya bergantung kepada sektor tradisional, sebaliknya kini meneroka bidang pendidikan, keusahawanan, teknologi makanan, seni dan budaya bagi memastikan kelangsungan dan kejayaannya.

“Sejak penubuhannya 69 tahun lepas, Felda bukan sahaja menjadi tulang belakang pembangunan luar bandar, malah telah membuka ruang kepada lebih 112,638 peneroka dan hampir tiga juta generasi Felda di seluruh negara, untuk menikmati kehidupan lebih baik.

“Felda hari ini bukan lagi hanya tentang getah, kelapa sawit dan tanah rancangan. Ia sedang melalui satu proses penyusunan semula kekuatan lama untuk menghadapi cabaran baharu, agar terus relevan, mampan dan terus menjadi kebanggaan negara.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peneroka Felda atas pengorbanan, usaha dan semangat yang tidak pernah luntur sejak penubuhan Felda. Insya-Allah, dengan sokongan semua pihak, Felda akan terus menjadi pemangkin kemakmuran luar bandar dan aset strategik negara,” katanya  sempena Hari Peneroka Felda hari ini (7 Julai).

Ahmad Zahid berkata sejak awal, Felda kekal dengan mandat memberi tanah kepada yang tidak bertanah, mencipta pekerjaan bermaruah dan membasmi kemiskinan, yang menjadi asas kejayaannya hingga hari ini.

Bagi tahun 2025, beliau berkata beberapa agenda utama akan menjadi tunjang kepada usaha bersama demi manfaat rakyat dan negara, antaranya usaha mengangkat semula nilai dan martabat Felda ke tahap lebih tinggi.

Ahmad Zahid berkata ini termasuk memperkukuh kesejahteraan ekonomi peneroka melalui peningkatan pendapatan, peluang baharu dan pemerkasaan komuniti sebagai matlamat nasional untuk memartabatkan jasa peneroka, serta memastikan mereka terus menjadi tunjang pembangunan desa dan negara.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata peranan Felda juga perlu diperkukuh sebagai kuasa besar industri makanan dan komoditi dunia, memandangkan Malaysia kini muncul sebagai antara pemain utama industri sawit global melalui FGV, pengeluar Minyak Sawit Mentah (MSM) ketiga terbesar di dunia.

Beliau berkata pembangunan generasi baharu Felda, mesti diberi keutamaan melalui pendidikan berkualiti, latihan kemahiran dan sokongan keusahawanan dan antara pencapaian membanggakan tahun ini ialah kejayaan pasukan MaresmaF Wind Orkestra (MAWO) dari MRSM Ulul Albab Felda Trolak, yang meraih Anugerah Emas Golden Diploma Award di Festival Antarabangsa Orkestra Tiupan Prague ke-26, membuktikan generasi Felda mampu berdiri megah di pentas dunia.

“Untuk tahun ini, karnival Hari Peneroka tahunan yang ditunggu-tunggu oleh semua warga peneroka akan bergabung dengan Karnival Usahawan Desa (KUD) dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dengan nama Mega Karnival 3 Dimensi (MK3D).

“Mega Karnival dengan tema “Desaku Mendunia”, bakal berlangsung pada 30 Julai hingga 3 Ogos ini juga merupakan antara agenda penting kita dalam mempromosi produk Felda dan memperkenal hasil kerja keras komuniti Felda kepada dunia. Karnival ini bakal menjadi medan penyatuan komuniti dari segi inovasi, pelancongan, perniagaan dan warisan budaya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan