DUNIA

Pertemuan Dengan Junta Myanmar Dilakukan Dengan Mandat ASEAN, Capai Gencatan Senjata – Anwar

08/07/2025 12:11 AM

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan pertemuannya dengan pemimpin junta Myanmar Jeneral Min Aung Hlaing di Bangkok pada April lepas dan menegaskan ia diadakan berdasarkan mandat ASEAN.

Anwar berkata pertemuan pertama seumpama itu oleh Pengerusi ASEAN sejak rampasan kuasa pada 2021 diadakan bagi mencapai gencatan senjata dan membolehkan bantuan kemanusiaan pasca gempa bumi diberikan susulan gempa bumi dahsyat pada 28 Mac di Myanmar.

Beliau berkata perkara itu telah dibincangkan bersama semua pemimpin ASEAN dan tiada siapa yang membantah.

“Saya hadir dengan mandat itu. Pertama, gencatan senjata. Ya, mungkin ada satu dua insiden kecil, tetapi kemudian ia telah dipersetujui.

“Kedua, bantuan kemanusiaan, telus, tanpa diskriminasi. Kita ada hospital medan daripada pihak tentera, daripada Malaysia untuk berkhidmat kepada semua dari semua wilayah (di Myanmar),” katanya dalam wawancara bersama France 24 yang disiarkan di platform digital rangkaian itu hari ini.

Perdana Menteri bertemu Hlaing yang juga Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara Myanmar di Bangkok pada 18 April semasa lawatan kerja dua hari beliau ke Thailand.

Anwar menyifatkan pendekatan itu sebagai anjakan strategik daripada dasar ASEAN sebelum ini yang tiada libat urus secara langsung, yang terbukti tidak berhasil.

“Tetapi sekurang-kurangnya kini, selama sebulan, telah wujud gencatan senjata. Ya, ada aduan mengenai satu dua insiden, tetapi tiada lagi pengeboman dan kemusnahan berterusan,” katanya.

Mengenai isu pertikaian wilayah di Laut China Selatan, Anwar berkata Malaysia mengambil pendekatan konsisten dan seimbang memandangkan negara mempunyai sempadan maritim dengan banyak negara jiran.

“Malaysia adalah sebuah negara maritim. Kita mempunyai isu sempadan dengan semua jiran kita, Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina, Brunei, Vietnam. Tetapi kita tidak pergi berperang,” katanya.

Anwar menegaskan bahawa Malaysia menyokong pendirian kolektif ASEAN dalam menggesa China dan semua pihak terlibat supaya bersetuju dengan Kod Tatakelakuan (COC).

“Selama 20 tahun, perkara ini tidak berlaku. Tetapi China telah memberi maklum balas di Jakarta tahun lepas. Mereka kata ya, mereka akan melihat perkara ini dan mereka menyokong,” katanya sambil menambah usaha akan diteruskan.

Apabila ditanya mengenai kemungkinan tercetus perang antara Amerika Syarikat (AS) dan China berhubung Taiwan, Anwar berkata beliau tidak terlalu bimbang dengan risiko konflik ketenteraan dan yakin kedua-dua pihak akan mengelak peperangan.

“Tidak, saya tidak begitu pesimis kerana saya percaya kedua-dua pemimpin mahu mengelak peperangan. Apapun pandangan anda mengenai Presiden Donald Trump, beliau mewakili pendirian seorang Presiden AS yang tidak mahu peperangan.

Anwar turut menekankan pendirian China berdasarkan pertemuan beliau dengan Presiden Xi Jinping, dengan mengatakan pemimpin China itu bertegas untuk mengelak sebarang tindakan ganas atau serangan terhadap mana-mana negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan