AM

Anak Masih Trauma Selepas Kemalangan Van Sekolah - Ibu Mangsa

08/07/2025 05:47 PM

JOHOR BAHRU, 8 Julai (Bernama) -- Seorang murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Tebrau S. Tanalechumy trauma dan mengalami mimpi buruk selepas van sekolah dinaiki terlibat kemalangan dengan sebuah treler di susur Bandar Dato Onn arah utara, di sini semalam. 

Operator kilang M. Kartthiyani, 47, ibu kepada Tanalechumy, 11, berkata anak perempuannya yang duduk di bahagian penumpang belakang pemandu, cedera ringan termasuk lebam pada kaki, tangan dan rahang.

“Saya sedang bekerja ketika dapat panggilan daripada suami kira-kira 1 tengah hari dan terus bergegas ke hospital. Syukur anak selamat walaupun cedera ringan.

“Saya harap keadaan dia baik sahaja sebab masih trauma dan dalam keadaan terkejut. Malam tadi, dia mengalami mimpi buruk, seperti memanggil kawannya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Taman Munsyi Ibrahim, di sini hari ini.

Kartthiyani berkata tidak menyalahkan pemandu van terbabit malah turut menghubungi wanita itu untuk bertanya khabar, selepas mengetahui dirinya juga cedera dalam kemalangan tersebut. 

Sementara itu, juruteknik M. Gunaseelan, 37, berkata anak lelakinya Tharshvin, 11, menerima beberapa jahitan akibat luka pada dahi, hidung dan mulut manakala anak perempuannya Yoagalakshmi, 6, tidak cedera.

“Anak lelaki saya juga duduk di bahagian belakang pemandu, dan mungkin terkena penghadang besi van. Keadaannya stabil, cuma perlu menggunakan penyedut minuman kerana terdapat luka dalam mulut,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya negeri K Raven Kumar melawat dua pelajar berkenaan serta menyerahkan sumbangan kepada mereka.

Dalam kejadian tengah hari semalam, sebuah van sekolah membawa 23 pelajar sekolah melanggar belakang sebuah treler yang berhenti akibat kerosakan enjin di lorong kecemasan mengakibatkan pemandu van dan empat murid cedera dengan dua daripadanya dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan