Oleh Rohani Mohd Ibrahim dan Norsyafawati Ab Wahab
KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Brazil, satu-satunya rakan dialog sektoral ASEAN dari Amerika Latin, mengulangi komitmen jangka panjangnya untuk memperkukuh hubungan yang dinamik dan berpaksikan masa depan bersama blok serantau itu.
Setiausaha Agung Hal Ehwal Luar Brazil Maria Laura da Rocha berkata ASEAN memainkan peranan penting dalam mempromosikan keamanan, integrasi ekonomi serta pembangunan seimbang di seluruh Asia Tenggara dan rantau lain.
“Mesyuarat tiga hala Brazil-ASEAN merupakan pencapaian penting dalam usaha Brazil untuk terus mempererat hubungan dengan ASEAN.
“Matlamat bersama kita ialah untuk terus memperkukuh kerjasama, sekali gus memacu aspirasi dan penglibatan ke tahap lebih tinggi,” katanya dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Tiga Hala antara Malaysia, Brazil dan Sekretariat ASEAN pada Selasa.
Mesyuarat Tiga Hala itu dipengerusikan oleh Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin yang dihadiri Timbalan Setiausaha Agung bagi Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN Datuk Astanah Abdul Aziz.
Mesyuarat berkenaan diadakan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan bermula hari ini hingga 11 Julai di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 dengan bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”.
“Mesyuarat ini merupakan peluang terbaik untuk kita menilai perkembangan terkini dalam sektor kerjasama Brazil-ASEAN serta berkongsi pandangan mengenai hala tuju inisiatif ini pada masa depan,” katanya.
Beliau turut optimis bahawa mesyuarat hari ini akan terus mengukuhkan kerjasama Brazil-ASEAN, memperteguh kepercayaan dan merintis peluang kerjasama baharu yang lebih strategik.
Sementara itu, Amran dalam ucapan pembukaannya berkata selain perdagangan, Malaysia yakin ASEAN dan Brazil boleh menjalin perkongsian kukuh dalam memperjuangkan multilateralisme, keamanan dan kestabilan di peringkat global.
“Jelas bahawa ASEAN dan Brazil berkongsi aspirasi yang sama demi keamanan, kestabilan, kemakmuran, kesamaan, keadilan dan nilai kemanusiaan,” katanya.
Menurut Amran, keutamaan tersebut menjadi asas kukuh kepada ASEAN dan Brazil untuk bekerjasama memperjuangkan diplomasi, dialog dan kerjasama dalam dunia yang sebahagiannya masih cenderung memilih keganasan.
“Suara kolektif kita boleh memainkan peranan penting dalam menyuarakan penyelesaian yang aman dan adil terhadap konflik, termasuk situasi di Syria dan wilayah Palestin khususnya di Gaza.
“Kita mesti tegas dalam mendesak Israel dipertanggungjawabkan atas pelanggaran berterusan terhadap undang-undang antarabangsa. Tidak wajar kekebalan terus diberikan,” katanya.
Beliau berkata antara kerjasama terkini Brazil-ASEAN ialah usaha mempromosikan tenaga lestari di Asia Tenggara menerusi projek biofuel dan tenaga boleh diperbaharu yang diterajui Brazil, selain inisiatif pembangunan kapasiti yang menyokong usaha ASEAN dalam bidang pertanian dan keselamatan makanan.
Amran berkata pengalaman luas Brazil dalam bidang berkenaan, seiring dengan agenda kemampanan dan Misi Komuniti ASEAN.
“ASEAN dan Brazil akan terus memperjuangkan kepentingan Negara Selatan Global dan ASEAN komited untuk mempererat kerjasama ke tahap lebih tinggi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial