AM

SKM Lulus Pembiayaan Lebih RM1 Juta Di Bawah Program Jejak Koperasi - Ewon

11/07/2025 03:47 PM

TENOM, 11 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) meluluskan pembiayaan berjumlah RM1.02 juta kepada 94 koperasi di seluruh negara di bawah Program Jejak Koperasi sebagai usaha memperkasakan sektor koperasi negara. 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada RM2 juta yang diperuntukkan SKM bagi melaksanakan program berkenaan melibatkan penyertaan 160 koperasi.

Beliau berkata Program Jejak Koperasi merupakan inisiatif khas KUSKOP melalui SKM yang diperkenalkan pada 2024 bagi membantu mempersiapkan koperasi-koperasi yang terlibat dalam sektor pelancongan dan hospitaliti menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Di samping itu, sebanyak RM642,000 turut diperuntukkan bagi Program Jualan MADANI Koperasi yang dilaksanakan secara menyeluruh di pelbagai lokasi.

“Usaha ini bertujuan meningkatkan keterlibatan (koperasi) dalam aktiviti ekonomi setempat dan memberi manfaat terus kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan sempena perasmian Mini Karnival Koperasi Peringkat Daerah Tenom 2025 hari ini.

Ewon berkata koperasi di seluruh negara kini memiliki syer dan yuran mencecah RM18.3 bilion, aset RM173 bilion dan perolehan tahunan sekitar RM68.18 bilion

Beliau berkata kerajaan juga sedang menggubal pindaan terhadap Akta Koperasi 1993 untuk memperkukuh kerangka perundangan agar lebih progresif dan mesra koperasi, seiring aspirasi semasa dan masa depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan