AM

Pelaksanaan Projek Pembangunan MPP, MPKu Dipantau Rapi - Mohd Jafni

12/07/2025 12:40 PM

JOHOR BAHRU, 12 Julai (Bernama) -- Pelaksanaan projek pembangunan di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), dipantau secara berterusan bagi memastikan pelaksanaan pembangunan yang cekap, tersusun dan berimpak tinggi, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor. 

Beliau yang mempengerusikan Mesyuarat Pemantauan MPP dan MPKu bagi meneliti status semasa projek pembangunan suku kedua 2025, berkata antara projek tumpuan di MPP termasuk pembinaan Pusat Rekreasi Sungai Lebam yang kini dipercepat meliputi pembinaan dok, kolam takungan serta kawasan hijau awam.

Selain itu, Mohd Jafni berkata inisiatif pemasangan sistem kamera litar tertutup pintar dan pusat operasi bersepadu mini (mini IOC) di bawah pelan Johor Selamat, telah mencatatkan 60 peratus kemajuan fizikal dan bakal memberi manfaat kepada 50,000 penduduk sekitar Desaru, Punggai dan Sungai Rengit, khususnya dalam koridor Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Kerja-kerja menaik taraf sistem saliran di kawasan mudah banjir seperti Taman Bayu Damai, Jalan Kempas 1, Kampung Jawa dan Penawar Harmoni turut dipantau rapi, termasuk projek kolam takungan yang kini mencapai tahap 60 peratus siap, manakala kerja baik pulih jalan serta bebendul jalan di Desaru telah mencapai 80 peratus,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini. 

Mohd Jafni berkata manakala bagi MPKu pula, antara projek utama yang sedang dilaksanakan termasuk pembinaan sistem Smart PoleVariable Message Signage (VMS), penyelenggaraan parit monsun dan pengurusan air larian dengan tahap kemajuan purata sekitar 25 hingga 70 peratus.

Smart Command Centre MPKu telah mencapai 70 peratus siap dan kini memasuki fasa kedua pemasangan CCTV berteknologi kecerdasan buatan untuk pemantauan trafik, butang panik dan keselamatan kawasan secara menyeluruh,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan