KUALA TERENGGANU, 12 Julai (Bernama) -- Terengganu dipilih sebagai negeri pertama melaksanakan program Tuisyen MADANI dengan peruntukan sebanyak RM5.27 juta, yang dijangka memberi manfaat kepada 9,408 pelajar dengan melibatkan khidmat 614 guru sekolah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemilihan Terengganu sebagai perintis program berkenaan adalah berdasarkan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan awam oleh pelajar di negeri itu.
"Saya hargai dan nampak Terengganu mencatat satu keputusan yang cemerlang dan saya turut bangga sebagai seorang bapa dan datuk. (Oleh itu) saya ingin umumkan khusus (Tuisyen MADANI) untuk Terengganu dahulu sebagai permulaan bantuan kepada pelajar-pelajar sekolah.
“Bantuan ini (dilakukan) dengan kerjasama pengajar terdiri daripada guru-guru sekolah...ini program pertama di Malaysia," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Terengganu di Pasar Kedai Payang, di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Anwar berkata pelaksanaan program Tuisyen MADANI di bawah inisiatif pembasmian kemiskinan di Terengganu adalah tambahan kepada bantuan RM100 yang disalurkan bagi tujuan pembelian buku serta bahan bacaan kepada pelajar dan guru.
Beliau berkata pelaksanaan program itu akan diselia oleh menteri serta ketua setiausaha kementerian berkaitan, dan kerajaan bercadang memperluas pelaksanaannya ke Kelantan selepas ini.
Anwar turut mengumumkan kerajaan telah meluluskan pembinaan sebuah kolej matrikulasi baharu di Marang serta perolehan tanah bagi kampus Politeknik Kuala Terengganu.
Pada majlis sama, sebanyak 10 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 turut menerima peranti MADANI (PERMAI).
Sementara itu, Anwar berkata sejumlah RM30 juta telah diperuntukan kepada Terengganu menerusi Program SejaTi MADANI, iaitu inisiatif Kerajaan Perpaduan bagi merancakkan aktiviti ekonomi komuniti.
"Setiap kampung diberikan dana dan kampung itu pilih sendiri (aktiviti ekonomi komuniti) nak buat apa dan bermesyuarat untuk apa yang perlu (untuk aktiviti itu).
“Saya pergi ke satu kampung di Parit Buntar, Perak, saya tengok mereka beli dron... mereka beli dua dron kemudian sewakan untuk meracun dan membaja. Sekarang setiap bulan untung bersih RM30,000… kalau kita beri keupayaan kepada orang kampung dan diurus dengan baik, kadang-kadang projek itu lebih baik daripada projek lain," katanya.
SejaTi MADANI memberi tumpuan kepada lima sektor utama iaitu pertanian dan makanan, jahitan dan kraftangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula.
Penganjuran PMR 2025 Terengganu mencatat sambutan luar jangka apabila jumlah kehadiran pengunjung setakat 12 tengah hari ini mencecah 82,182 orang, melepasi sasaran awal 25,000 pengunjung untuk penganjuran program selama tiga hari.
Bertemakan “Pembangunan MADANI, Rakyat Sejahtera”, PMR 2025 dianjurkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial