KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Forum Serantau ASEAN (ARF) ke-32 menggesa negara pemilik senjata nuklear (NWS) untuk mengiktiraf keperluan menghapuskan sepenuhnya senjata nuklear, kerana ia merupakan satu-satunya cara untuk memastikan senjata nuklear tidak akan digunakan semula dalam apa juga keadaan.
Mesyuarat itu turut menggesa NWS, supaya menunaikan tanggungjawab mereka dalam meneruskan dengan pelucutan senjata nuklear, selaras dengan Artikel VI Triti Mengenai Pengawalan Senjata Nuklear (NPT).
Menurut kenyataan Pengerusi ASEAN bagi ARF ke-32, mesyuarat tersebut mengambil maklum mengenai kebimbangan dibangkitkan peserta, mengenai kemerosotan komitmen dan kerjasama dalam mekanisme global berkaitan pengawalan senjata nuklear, kawalan senjata dan perlucutan senjata dan menggesa semua negara supaya melaksanakan komitmen mereka di bawah mekanisme itu.
Forum yang berlangsung sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan pada Jumaat itu juga, menyeru komitmen memperkukuh kerjasama antarabangsa dan serantau dalam pengawalan senjata nuklear, pelucutan senjata, serta penggunaan tenaga nuklear dan teknologi berkaitan secara aman.
Forum itu turut mengulangi komitmen untuk mengekalkan Asia Tenggara sebagai Zon Bebas Senjata Nuklear (NWFZ) dan bebas daripada semua jenis senjata pemusnah besar-besaran, serta pelaksanaan sepenuhnya dan berkesan Perjanjian SEANWFZ.
ARF juga menggesa semua pihak agar menghormati gencatan senjata dan mengelakkan sebarang peningkatan ketegangan di Timur Tengah.
ARF mengulangi semula kewajipan semua negara untuk menyelesaikan perbezaan melalui cara damai, serta menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah semua negara, selaras dengan undang-undang antarabangsa termasuk Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Mesyuarat juga menegaskan semula kewajipan untuk melindungi orang awam dan infrastruktur awam dalam konflik bersenjata, selaras dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi berkaitan Majlis Keselamatan PBB.
“Mesyuarat turut menyokong usaha yang sedang dijalankan, termasuk yang diketuai PBB, bagi mengurangkan ketegangan serta memudahkan penyambungan semula keterlibatan secara konstruktif antara pihak-pihak yang terlibat,” menurut kenyataan itu.
ARF dianggotai negara-negara ASEAN dan rakan dialog termasuk Australia, Kanada, China, Kesatuan Eropah (EU), India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia, Amerika Syarikat dan United Kingdom.
Negara lain yang turut serta termasuk Bangladesh, Korea Utara, Mongolia, Pakistan, Sri Lanka, Papua New Guinea dan Timor Leste.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial