AM

Bon Odori Pertama Kali Diadakan Di Sunway City 

12/07/2025 11:03 PM

PETALING JAYA, 12 Julai (Bernama) -- Festival Bon Odori buat pertama kalinya telah diadakan di Sunway City Kuala Lumpur, dengan menampilkan persembahan kebudayaan, tarian tradisional dan lebih 100 gerai yang menawarkan makanan jalanan dan snek Jepun serta cenderahati menarik, kraf tangan dan pelbagai barangan unik berkait perayaan itu.

Berlangsung selama dua hari bermula hari ini dari 4 petang hingga 11 malam, festival edisi ke-49 itu dianjurkan bersama oleh The Japan Club of Kuala Lumpur dan Sunway City Kuala Lumpur, dengan sokongan Tourism Selangor, Kedutaan Jepun dan Sekolah Jepun Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Malls HC Chan berkata penganjuran festival itu di Sunway mencerminkan hubungan dua hala dan pembangunan komuniti yang kukuh.

“Hari ini merupakan detik penting dalam sejarah pertukaran budaya antara Malaysia dan Jepun.  Satu penghormatan dan keistimewaan apabila Festivial Bon Odori ke-49 ini diadakan buat pertama kali di Sunway City Kuala Lumpur, satu daripada destinasi pelancongan utama Malaysia dengan lebih 42 juta pelawat setiap tahun,” katanya pada sidang media di sini hari ini. 

Turut hadir pada acara itu, Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia  Lee Thai Hung, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor Datuk Ng Suee Lim, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling, Duta Besar Jepun ke Malaysia Shikata Noriyuki, Presiden The Japan Club of Kuala Lumpur Dai Hoshiai serta Pengerusinya Toru Nakabayashi.

Chan berkata sokongan oleh kerajaan Selangor dan Tourism Selangor penting dalam menjayakan festival itu, sambil menambah komitmen Sunway terhadap diplomasi budaya turut dizahirkan menerusi kerjasama erat dengan institusi Jepun dalam perniagaan, pendidikan dan inovasi. 

“Sunway University telah menjalin kerjasama yang aktif dengan lebih 20 universiti di Jepun manakala lapan lagi dalam perancangan yang menumpu kepada kerjasama penyelidikan, inovasi teknologi dan program pertukaran pelajar,” katanya. 

Sementara itu, Ng berkata sambutan Bon Odori selari dengan semangat perpaduan dan kemajmukan budaya yang diketengahkan sempena Tahun Melawat Selangor 2025.

“Memandangkan Tahun Melawat Selangor 2025 terus meraih momentum yang kukuh menjelang separuh kedua tahun ini, kami mengalu-alukan lebih banyak perayaan rentas budaya yang merupakan gambaran sebenar Selangor sebagai model perpaduan dan keharmonian seiring dengan semangat Kita Selangor,” katanya. 

Beliau berkata Jepun kekal sebagai satu daripada pasaran pelancongan antarabangsa utama Selangor dengan ketibaan pelancong dari negara itu meningkat daripada 110,018 orang pada 2023 kepada 132,526 orang pada 2024, iaitu peningkatan sebanyak 20.5 peratus. 

“Kami yakin dengan hubungan dua hala antara Selangor dan Jepun yang kukuh, trend peningkatan ini akan berterusan pada tahun akan datang,” katanya. 

Bon Odori merupakan perayaan tradisional Jepun yang disambut dengan tarian dan persembahan dram bagi menghormati roh nenek-moyang.  

Sejak mula diperkenalkan di negara ini pada 1977, Bon Odori telah menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat, menyokong ekonomi tempatan, merancakkan pelancongan dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama kebudayaan dan gaya hidup dalam landskap pelancongan serantau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan