KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Bekalan telur ayam di pasaran kekal stabil dan mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat, walaupun kadar subsidi telah dikurangkan sebanyak lima sen sejak 1 Mei.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata situasi itu, membuktikan langkah pengurangan subsidi tersebut tidak menjejaskan bekalan telur ayam.
“Malah menunjukkan keupayaan sistem pengeluaran tempatan yang semakin mampan dan berdaya tahan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan kawalan harga telur ayam akan ditamatkan, manakala kadar subsidi dikurangkan daripada 10 sen kepada lima sen sebiji berkuat kuasa 1 Mei 2025, sebelum dihentikan sepenuhnya pada 1 Ogos ini.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayamn kekal mencukupi dan terjamin.
Keputusan itu turut mengambil kira tempoh kawalan harga dan pemberian subsidi yang terlalu lama adalah tidak mampan bagi kelangsungan industri pengeluar telur tempatan dan kewangan negara.
Langkah penyasaran semula subsidi telur itu, sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan penggunaan dana subsidi yang lebih berkesan serta menggalakkan pengeluaran makanan tempatan yang mampan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial