Daripada Ahmad Erwan Othman
ROTORUA (New Zealand), 15 Julai (Bernama) -- Sebuah Majlis Perniagaan Orang Asli dan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khas dicadangkan untuk ditubuhkan bagi memperkasakan ekonomi komuniti itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada lima cadangan utama diilhamkan hasil pencapaian komuniti Maori di New Zealand yang dilihat berjaya memperkasakan masyarakat pribumi mereka ke tahap membanggakan.
"Saya akan mengadakan mesyuarat khusus dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi membincangkan penubuhan Majlis Perniagaan Orang Asli.
“Kita juga akan mempertimbangkan sebuah institusi TVET melibatkan pelbagai bidang kemahiran yang boleh melahirkan teknopreneur dalam kalangan Orang Asli,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sesi Meja Bulat bersama pemimpin perniagaan komuniti Maori, di sini hari ini.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang dalam lawatan kerja lima hari ke New Zealand itu meneruskan program hari keduanya hari ini dengan mengunjungi Rotorua, sebuah bandar pelancongan berasaskan budaya dan geoterma terletak kira-kira tiga jam dari Bandar Auckland.
Ahmad Zahid berkata kerajaan turut bercadang menubuhkan sektor khusus dalam Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk menyediakan kemudahan pinjaman mikro kepada kaum ibu dalam komuniti Orang Asli bagi membantu mereka menjana pendapatan sampingan.
“Pada hemat saya, khususnya untuk kaum ibu masyarakat Orang Asli, kita mahu mereka ini menjana pendapatan dan meningkatkan taraf ekonomi keluarga. Ini boleh kita pelajari hasil lawatan di sini,” katanya.
Selain itu, beliau berkata usaha meningkatkan penyertaan anak Orang Asli ke institusi pengajian tinggi kini turut diberi penekanan sewajarnya.
“Pada 2023, kita sasarkan 300 kemasukan dan mereka berjaya melepasi angka itu. Sasaran 400 pada 2024 juga telah dicapai.
“Alhamdulillah, tahun ini lebih 500 Orang Asli berjaya melanjutkan pengajian ke IPT. Insya-Allah angka ini akan terus dipertingkatkan,” kata beliau yang menambah satu lagi cadangan ialah meminda perundangan untuk Orang Ali.
Ahmad Zahid berkata usaha berkenaan jika diberi tumpuan, dapat meningkatkan mobiliti sosial Orang Asli, bukan sahaja dalam bentuk meluas tetapi juga ke tahap lebih tinggi, khususnya dalam bidang pendidikan.
Beliau berkata pelaksanaan kelima-lima cadangan tersebut akan dipantau oleh Jawatankuasa Pembangunan Orang Asli yang dipengerusikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Ramli Mohd Nor.
“Saya akan memberikan punca kuasa kepada jawatankuasa ini agar dapat memantau dan merealisasikan syor yang kita pelajari daripada lawatan ke atas komuniti Maori ini,” katanya.
Dalam lawatan kerja itu, Ahmad Zahid bersama delegasi turut melawat perkampungan budaya Whakarewarewa Living Maori Village serta ladang ternakan biri-biri dan tenusu, Onuku Farm, bagi meninjau amalan terbaik dalam industri pertanian dan ternakan yang boleh dicontohi serta diadaptasi untuk manfaat sektor luar bandar di Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial