AM

Malaysia Masih Kaji Tenaga Nuklear, Pelaksanaan Mungkin Ambil Masa Sedekad - TPM Fadillah

15/07/2025 09:57 PM

KUCHING, 15 Julai (Bernama) -- Malaysia belum membuat sebarang keputusan untuk melaksanakan tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada campuran tenaga negara, sebaliknya perkara ini masih di peringkat awal kajian terhadap kesesuaiannya. 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata buat masa ini kerajaan Persekutuan masih mempertimbangkan tenaga nuklear sebagai pilihan jangka panjang dan bukan untuk melaksanakannya serta-merta berikutan kerumitan serta aspek keselamatan teknologi berkenaan.

“Apa yang telah diluluskan adalah untuk mempertimbangkan tenaga nuklear sebagai satu daripada potensi dalam campuran tenaga pada masa depan,” katanya kepada pemberita pada Sidang Kemuncak Minggu Tenaga Antarabangsa (IEW) 2025 di sini hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata kerja-kerja asas giat dilaksanakan, termasuk penanda aras antarabangsa serta penyediaan kawal selia.

“Saya telah ke United Kingdom, Perancis dan Rusia, dan kita akan ke Amerika Syarikat, China serta Korea Selatan. Kita sedang menganalisis semua teknologi yang ada serta aspek keselamatan dan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata penerimagunaan tenaga nuklear di Malaysia perlu melalui proses dan perjanjian antarabangsa yang ketat, terutamanya Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

Timbalan perdana menteri itu turut menekankan mengenai kepentingan penerimaan awam dan tanpa sokongan padu rakyat, pilihan tenaga nuklear tidak akan diteruskan.

“Hanya selepas kita menandatangani kesemua 18 perjanjian antarabangsa, dan jika diluluskan pada peringkat itu, barulah kita boleh pertimbangkan untuk menggunakan tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada bekalan tenaga. 

“Kita perlu libatkan rakyat dan pastikan mereka menerima cadangan itu. Jika rakyat tidak menerimanya maka kita tidak boleh teruskan … ,” katanya.

Pelaksanaan tenaga nuklear di negara ini mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya 10 tahun, memandangkan perlu melalui pelbagai fasa, iaitu kawal selia, teknikal dan maklum balas awam. 

Sementara itu, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata buat masa ini tenaga nuklear tidak relevan untuk Sarawak memandangkan negeri ini mempunyai sumber tenaga boleh diperbaharui yang banyak dan pelbagai.

“Kita punyai hidro, gas dan solar. Dengan apa yang kita miliki sekarang, saya fikir Sarawak tidak perlukan nuklear,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sidang kemuncak IEW 2025.

Beliau berkata Sarawak kini menumpukan untuk muncul sebagai hab tenaga boleh diperbaharui, menyasarkan pengeluaran hingga 15 gigawatt menjelang 2035 melalui sumber tenaga bersih sedia ada.

“Menjelang 2030 kita menetapkan sasaran, iaitu sebanyak 10 gigawatt, kini kita menyasarkan 15 gigawatt menjelang 2035. Hasil daripada sumber sedia ada yang kita miliki sekarang,” katanya.

Abang Johari berkata teknologi solar juga terus menunjukkan kemajuan yang pesat dan Sarawak berpotensi muncul sebagai hab serantau bagi eksport tenaga boleh diperbaharui.

Beliau turut berkongsi bahawa Sarawak kini sedang meneroka tenaga lakuran sebagai alternatif yang lebih selamat dan bersih berbanding pembelahan nuklear.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan