AM

Op Kesan 4.0: 120 Premis Di Selangor Diberi Notis Pengesahan Maklumat

18/07/2025 04:13 PM

SHAH ALAM, 18 Julai (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor mengeluarkan 120 notis kepada peniaga susulan tindakan penyelarasan harga selepas pelaksanaan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 Julai lepas.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN negeri Mohd Hanizam Kechek berkata notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dikeluarkan menerusi Op Kesan 4.0 hasil pemeriksaan terhadap 120 premis perniagaan di seluruh negeri bagi memantau kesan peningkatan kadar SST daripada enam kepada lapan peratus.

Beliau berkata operasi itu melibatkan pemeriksaan terhadap 416 unit simpanan stok (SKU) meliputi barangan basah dan makanan dalam tin.

“Premis yang terlibat ialah 13 pemborong dan 107 peruncit meliputi kedai runcit, pasar awam dan pasar raya,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemantauan harga di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Premis terbabit meliputi 29 di Shah Alam, Petaling Jaya (20), Kajang (16), Kuala Selangor (11), Sepang dan Gombak masing-masing 15 serta Kuala Kubu Baharu 14.

Mohd Hanizam berkata pemantauan berterusan itu bagi memastikan barangan keperluan asas pengguna yang dikecualikan di bawah SST tidak berlaku pergerakan harga yang memberi implikasi kos sara hidup rakyat di Selangor.

Beliau berkata hasil pemeriksaan bermula empat hari sebelum peluasan SST dilaksanakan hingga semalam, mendapati tiada peruncit dan pasar raya menaikkan harga barangan selepas pelaksanaan peningkatan kadar cukai berkenaan.

“Setakat ini tiada aduan rasmi berkaitan kenaikan harga diterima kecuali aduan mengenai tiada tanda harga, yang secara konsisten ditangani KPDN menerusi pemeriksaan rutin di premis perniagaan berkenaan.

“Hasil dapatan sejak 1 Julai mendapati tiada elemen pencatutan dan kenaikan harga susulan peluasan kadar SST,” katanya.

Di PERLIS, Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis mengeluarkan 27 Notis Pengesahan Maklumat Barangan di bawah Seksyen 21 AKHAP 2011 kepada peniaga menerusi Ops Kesan 4.0 bermula 1 Julai.

Pengarahnya Rohaida Hassan berkata peniaga perlu mengemukakan maklumat lanjut dalam tempoh empat hari bekerja menerusi notis itu untuk dianalisis pihaknya bagi melihat sama ada berlaku kenaikan harga barangan ataupun tidak, yang kini ia masih dalam siasatan selepas peluasan skop SST.

"Kita memeriksa 27 premis melibatkan 119 SKU yang dilaksanakan bagi memantau dan mengekang aktiviti pencatutan susulan peluasan skop SST oleh kerajaan," katanya kepada pemberita selepas menjalankan pemeriksaan dalam Ops Kesan 4.0 di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Rohaida berkata 37 pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Perlis digerakkan di seluruh negeri dalam pelaksanaan operasi itu dan tindakan tegas akan diambil jika terdapat pelanggaran undang-undang.

Beliau berkata individu yang disabitkan kesalahan mencatut boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000.

"Ops Kesan 4.0 ini dilaksanakan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah 2018), bagi memastikan peniaga mematuhi undang-undang serta tidak menaikkan harga secara berlebihan untuk meraih keuntungan yang tidak munasabah.

"Operasi turut meliputi pemantauan terhadap barangan dan perkhidmatan yang terlibat dalam pelaksanaan dasar SST serta barangan keperluan asas tidak terlibat secara langsung seperti ayam standard, daging lembu tempatan (kecuali batang pinang), kubis bulat tempatan, sardin dalam tin, krimer pekat manis, susu pekat manis dan roti putih," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan