AM

SK Kampung Baharu Lanjut Terima RM100,000 Menerusi Program Sekolah Angkat MADANI - AKM

18/07/2025 05:11 PM

PUTRAJAYA, 18 Julai (Bernama) -- Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baharu Lanjut, Sepang menerima suntikan dana sebanyak RM100,000 daripada Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) menerusi Program Sekolah Angkat MADANI yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi memperkukuh ekosistem pendidikan di seluruh negara.

AKM memaklumkan dengan penyaluran dana itu, sekolah berkenaan dijangka melaksanakan beberapa inisiatif pendidikan baharu termasuk pembelian peralatan pembelajaran digital, baik pulih kemudahan sedia ada, serta penganjuran program pembangunan sahsiah murid.

Dana disampaikan Ketua Pengarah AKM Datuk Dr Roslan Hussin pada satu majlis ringkas yang dihadiri warga pendidik, kepimpinan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta murid sekolah tersebut. 

Roslan dalam ucapannya berkata Program Sekolah Angkat MADANI bukan sekadar bantuan bersifat material, sebaliknya pelaburan strategik untuk masa depan pendidikan negara. 

"Peruntukan ini bukan sekadar angka di atas kertas. Ia adalah amanah rakyat untuk membina persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan menyeluruh. Sekolah ini dipilih kerana kita percaya akan potensinya dalam melahirkan generasi cemerlang berteraskan nilai MADANI," katanya.

SK Kampung Baharu Lanjut antara sekolah terpilih dalam fasa pelaksanaan awal program tersebut dengan AKM bertindak sebagai agensi pengangkat yang bertanggungjawab menyelaras sokongan dari segi naik taraf prasarana dan kemudahan asas, program peningkatan akademik dan bimbingan murid.

Turut diselaras ialah pengukuhan latihan profesional guru, sokongan kebajikan dan motivasi pelajar serta penerapan nilai-nilai Malaysia MADANI dalam sahsiah murid.

Sementara itu, Guru Besar SK Kampung Baharu Lanjut Herman Mahamad Gapar turut merakamkan penghargaan kepada pihak AKM atas keprihatinan dan komitmen mereka dalam memastikan sekolah luar bandar turut mendapat perhatian kerajaan.

"Sumbangan ini amat bermakna buat kami. Ia bukan sahaja memberi manfaat kepada murid, malah membangkitkan semangat warga pendidik untuk terus memberikan yang terbaik dalam mendidik anak bangsa," katanya.

Program Sekolah Angkat MADANI merupakan inisiatif kerajaan MADANI yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dikoordinasikan oleh Kementerian Kewangan serta Kementerian Pendidikan.

Ia bertujuan mempertemukan organisasi berkemampuan seperti agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan sektor swasta dengan sekolah yang memerlukan sokongan holistik, terutamanya di kawasan luar bandar dan pinggir bandar. 

Inisiatif Sekolah Angkat MADANI dijangka memanfaatkan lebih 1,000 sekolah di seluruh negara menjelang hujung tahun ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan