KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Kementerian Digital, terus komited dalam merangka dan melaksanakan dasar serta inisiatif bagi memastikan teknologi “blockchain” atau blok rantai diterima pakai lebih meluas dalam sektor utama negara.
Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata jalinan kerjasama dalam pentadbiran kerajaan itu antara lain bertujuan meningkatkan ketelusan, keberkesanan, dan keselamatan data dalam sistem perkhidmatan awam.
“Dalam bidang kewangan dan perbankan pula, usaha ini bertujuan mengurangkan kos transaksi serta memperbaiki akses kepada perkhidmatan kewangan digital manakala dalam industri halal ia untuk memperkukuh sistem pengesanan dan pensijilan halal agar lebih cekap dan boleh dipercayai,” katanya dalam ucaptama semasa majlis pelancaran Malaysia Blockchain Infrastructure (MBI) di Minggu Blockchain Malaysia 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata teknologi blockchain kini semakin relevan dalam pelbagai sektor termasuk kewangan, rantaian bekalan, pengesanan halal dan perkhidmatan awam namun isu seperti kepincangan sistem, kos yang tinggi dan kekurangan saling kebolehkendalian mengekang potensi sebenar teknologi itu.
“MBI merupakan tindak balas strategik kami yang bertujuan membolehkan saling kebolehkendalian dalam rangkaian teknologi blockchain, mengurangkan kos transaksi dan pertindihan, selain meningkatkan kepercayaan, ketelusan dan keselamatan. Memberi akses kepada lebih banyak syarikat pemula, perniagaan dan komuniti,” katanya
Chang berkata melalui pelaksanaan MBI, Malaysia meletakkan diri di barisan hadapan dalam infrastruktur digital yang boleh dipercayai, yang bukan sahaja menyokong inovasi tetapi turut memberikan impak sebenar dalam pelbagai industri dan komuniti.
Beliau berkata pelaksanaan MBI seiring dengan Pelan Hala Tuju Teknologi Blockchain Negara 2021-2025, digariskan oleh MOSTI yang bertujuan menjadikan Malaysia sebagai hab teknologi blockchain rantau ini, yang setakat ini 60 peratus objektifnya telah tercapai.
Beliau turut menyatakan Minggu Blockchain Malaysia sebagai aktiviti utama teknologi berkenaan di Malaysia, bukan sekadar menghimpunkan pembangun teknologi, institusi dan agensi kerajaan, tetapi juga satu kenyataan berani untuk menerajui inovasi digital dan mengalu-alukan kedatangan ekonomi masa depan.
Chang berkata acara dua hari itu bertujuan memudah cara kerjasama dan penciptaan penyelesaian yang akan membentuk bukan sahaja masa depan blockchain di Malaysia malah kedudukan negara dalam ekonomi digital global.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial