AM

Unjuran Pertumbuhan Ekonomi Suku Kedua 4.5 Peratus Bukti Kukuh Usaha Kerajaan MADANI - Nga

21/07/2025 05:33 PM

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Unjuran pertumbuhan ekonomi negara 4.5 peratus bagi suku kedua 2025 adalah bukti keberkesanan usaha reformasi Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam merangsang ekonomi negara serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata ia adalah petunjuk jelas bahawa dasar fiskal serta inisiatif Kerajaan MADANI yang bersifat rakyat-centred dan menyeluruh, mula membuahkan hasil positif.

"Di sebalik tekanan global yang semakin mencabar, permintaan domestik yang stabil dan keyakinan pengguna dan pelabur, mencerminkan keberkesanan pendekatan kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini memaklumkan ekonomi negara diunjurkan berkembang sebanyak 4.5 peratus pada suku kedua 2025 berdasarkan anggaran awal, mengatasi peningkatan sebanyak 4.4 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Nga berkata sektor pembinaan dilaporkan terus menunjukkan momentum kukuh dengan jangkaan kadar pertumbuhan 11 peratus, diterajui oleh projek bangunan bukan kediaman dan perumahan.

Sementara itu katanya sektor perkhidmatan dijangka berkembang sebanyak 5.3 peratus, meningkat daripada lima peratus pada suku sebelumnya manakala sektor pembuatan pula mencatat pertumbuhan 3.8 peratus.

Nga berkata jangkaan pertumbuhan keseluruhan itu didorong oleh permintaan domestik yang diperkukuh melalui pelbagai inisiatif Kerajaan MADANI, termasuk pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta peningkatan gaji minimum, yang telah membantu meningkatkan pendapatan serta kuasa beli rakyat.

“Bagaimanapun Kerajaan MADANI terus berwaspada dengan risiko luaran seperti ketegangan perdagangan global dan perang tarif yang masih berterusan.

“Kerajaan MADANI sentiasa kekal komited dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang inklusif serta kesejahteraan seluruh lapisan rakyat sentiasa terjamin,” katanya.

Nga turut menyambut baik keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) ke paras 2.75 peratus sebagai langkah proaktif bagi menyokong aktiviti ekonomi negara khususnya dalam bidang hartanah.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan