AM

KKM Akan Laksana ‘Fast Track’ Isi Jawatan Sektor Kesihatan - Dzulkefly 

26/07/2025 03:34 PM

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan proses pengisian 4,352 jawatan sektor kesihatan secara ‘fast track’ dan tidak mengikut kaedah konvensional bagi memenuhi keperluan mendesak tenaga kerja kesihatan ketika ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet semalam dan beliau sendiri telah menekankan keperluan untuk mempercepat proses berkenaan.

“Saya telah tegaskan dan tekankan supaya Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan supaya menyegerakan pengisian ini melalui kaedah fast track berbanding konvensional,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas merasmikan Annual Scientific Meeting & 55th Annual General Meeting Malaysian Society of Radiographers (MSR) di sini hari ini. 

Sementara itu, menyentuh isu pendaftaran pengamal kesihatan di bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 (Akta 774), Dzulkefly menyeru semua pengamal perubatan menyegerakan pendaftaran rasmi serta mendapatkan Perakuan Amalan (APC) sebelum 31 Dis 2026.

Beliau berkata langkah itu penting bagi mewujudkan ekosistem amalan kesihatan bersekutu yang diiktiraf, dikawal selia dan berteraskan kualiti.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu KKM L. Mageswary berkata individu yang gagal mendaftar atau mengamalkan tanpa APC boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Mana-mana individu yang menggaji seseorang yang tidak berdaftar di bawah Akta (Akta 774) ini untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai pengamal Profesion Kesihatan Bersekutu adalah melakukan suatu kesalahan.

“Jika disabitkan bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan yang berterusan, denda tambahan hingga RM1,000 sehari boleh dikenakan.

"Bagi pertubuhan perbadanan, perkongsian atau mana-mana entiti organisasi pula, denda boleh mencecah hingga RM100,000 dan untuk kesalahan berterusan, denda tambahan sebanyak RM5,000 sehari boleh dikenakan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan