PUTRAJAYA, 26 Julai (Bernama) -- Keputusan untuk tidak meneruskan tindakan terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu kedaulatan Pulau Batu Puteh tidak melangkaui keputusan Peguam Negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata keputusan itu dibuat Kabinet meskipun Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mencadangkan sebaliknya.
“Laporan pasukan khas telah mengusulkan supaya laporan dibuat terhadap Tun Mahathir terhadap pengkhianatan kepada negara dan tindakan susulan diambil.
“Jadi, saya tidak melangkau keputusan peguam negara, ia keputusan Kabinet. Saya telah melihat walaupun kesalahan itu kesalahan khianat yang besar, melihat kepada suasana dan keadaan, kita mengusulkan supaya tidak perlu beliau dibawa ke tengah (peringkat seterusnya),” kata Anwar.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50 Tahun 2025 di sini hari ini.
Anwar mengulas kenyataan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mengemukakan usul kepada Dewan Rakyat untuk merujuk Perdana Menteri ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen berhubung kenyataannya terhadap Dr Mahathir dan isu Pulau Batu Puteh.
Perdana Menteri turut menegaskan siasatan polis serta RCI yang diketuai oleh bekas ketua hakim negara dan pasukan khas, mengusulkan dengan jelas ada kesalahan besar Dr Mahathir dalam isu terbabit.
Sebelum ini, Anwar berkata kerajaan mengambil keputusan untuk tidak meneruskan tindakan terhadap Dr Mahathir berhubung isu kedaulatan Pulau Batu Puteh yang dibangkitkan dalam RCI atas pertimbangan faktor usia.
Perdana Menteri berkata walaupun beliau percaya kesalahan itu wujud dan besar, Jemaah Menteri memutuskan untuk tidak mengambil tindakan lanjut memandangkan Dr Mahathir kini sudah berusia 100 tahun.
Media sebelum ini juga melaporkan, RCI Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan telah mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Dr Mahathir.
Tindakan berkenaan merupakan antara yang disyorkan RCI dalam laporan setebal 217 muka surat yang diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial