AM

Bakti Komuniti MADANI: Gunting Rambut, Tukar Minyak Motosikal Percuma Dapat Sambutan Hangat

26/07/2025 06:01 PM

MUAR, 26 Julai (Bernama) -- Gunting rambut dan penukaran minyak hitam secara percuma antara yang mendapat sambutan hangat menerusi program Bakti Komuniti MADANI di sini bersempena Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang (MPBKKJG) 2025 esok. 

Pemilik kedai gunting rambut Ulo Barber dari Parit Jawa, Mohd Hilmi Hassan, 47, berkata dia bersama empat pekerja tidak menang tangan melayan pengunjung yang silih berganti sebaik perkhidmatan itu dibuka pada 10 pagi.

"Saya rasa setakat 12.15 tengah hari tadi sudah lebih 60 pengunjung pelbagai peringkat umur gunting rambut. Pada awalnya saya jangka 12 tengah hari akan tutup, tetapi kita kena anjak waktu sebab ada yang masih menunggu giliran," katanya kepada Bernama di lokasi program di Taman Tun Sulaiman Ninam Shah di sini. 

Ketua Kampung Simpang Baba Hussin Limat, 65, berkata dia tidak kisah menunggu lama kerana program seperti itu bukan sahaja menjimatkan, malah suasana yang meriah menjadikan pengalaman itu berbaloi.

"Hampir sejam saya tunggu untuk gunting rambut sebab ramai yang beratur tunggu giliran. Program macam ini bagi saya sangat bagus dan menarik, walau nampak kecil tetapi ia memberi manfaat," katanya.

Pelajar sekolah Mohd Muizzudin Mohd Nordin, 15, pula memutuskan untuk hadir seawal 8 pagi selepas mengetahui mengenai program gunting rambut percuma melalui hebahan kumpulan aplikasi WhatsApp.

"Perkhidmatan percuma yang disediakan itu sangat bermakna, terutama bagi pelajar seperti saya. Kalau buat di kedai luar, cajnya boleh cecah RM10 hingga RM20. Jadi bila ada peluang macam ini, memang saya tak lepaskan. Jimat dan kemas terus untuk sambut Bulan Kebangsaan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus GiatMARA Bakri Affandi Abdul Rahim berkata 60 botol minyak hitam yang disediakan habis dalam tempoh dua jam.

Beliau berkata sebanyak lapan pelatih GiatMARA membantu dalam proses penukaran minyak hitam kepada pengunjung berbilang bangsa yang datang dari sekitar Muar. 

Selain aktiviti gotong royong dan kenduri rakyat, pengisian Bakti Komuniti MADANI yang dirasmikan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching itu meliputi pertandingan e-Sukan dan memasak asam pedas, sukan rakyat serta cabutan bertuah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan