AM

Negeri Sembilan Ikut Jejak Langkah Melaka Mohon Peruntukan Bagi Pembangunan Koperasi

26/07/2025 09:22 PM

MELAKA, 26 Julai (Bernama) -- Negeri Sembilan akan mengikut jejak langkah Melaka dengan memohon sejumlah peruntukan daripada kerajaan negeri bagi pembangunan koperasi pada bajet 2026, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan S. Veerapan.

Beliau berkata setakat ini tiada peruntukan disediakan kerajaan negeri untuk pembangunan koperasi di Negeri Sembilan, sebaliknya peruntukan yang diterima adalah daripada kerajaan Persekutuan menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) negeri.

"Perkara ini penting kerana kita dapat lihat di Melaka, negerinya kecil dan hasilnya juga tidak tinggi seperti Negeri Sembilan tetapi ada peruntukan disalurkan kerajaan negeri kepada SKM Melaka...jadi kita akan mengikut jejak langkah itu.

"Peruntukan itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan negeri untuk memastikan koperasi yang ada di Negeri Sembilan turut mendapat faedah sekali gus memperkukuhkan pembangunan koperasi," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Program Eksplorasi dan Jaringan Perniagaan (Ekspansi) Exco Kerajaan Negeri Sembilan bersama Gerakan Koperasi Negeri Sembilan, Sarawak dan Sabah ke Melaka sempena Hari Koperasi Negara 2025 yang turut dihadiri Pengarah SKM Negeri Sembilan Radiatul Fitri Dollah.

Veerapan berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut daripada SKM Negeri Sembilan berhubung keperluan peruntukan yang diperlukan bagi pembangunan koperasi di negeri itu dalam masa terdekat.

Beliau berkata input berkenaan akan diusul dan dibincangkan dalam sesi konsultasi bajet 2026 negeri yang dijangka diadakan pada September ini.

“Hingga 31 Dis tahun lepas, terdapat 787 koperasi berdaftar di Negeri Sembilan dengan jumlah keahlian hampir 192,000 orang. Jumlah syer terkumpul pula mencecah RM123 juta manakala nilai aset koperasi sebanyak RM404 juta dengan perolehan keseluruhan RM187 juta,” katanya.

Terdahulu, pada program itu, Veerapan menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Koperasi Gabungan Masjid-Masjid Negeri Melaka Berhad (Kogmas) diwakili Pengerusinya Zaidan Abd Hadi dan Koperasi Kolej Vokasional (KV) Port Dickson Berhad diwakili Pengarah kolej Mohammad Shafie Hamir.

Menerusi MoU itu, Kogmas akan membekalkan produk keluaran koperasi tersebut iaitu air mineral botol kepada Koperasi KV Port Dickson Berhad.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan