AM

Penerbangan Terus Kuching-Pontianak Mudahkan Perjalanan Pengembara

26/07/2025 11:37 PM

KUCHING, 26 Julai (Bernama) -- Penerbangan terus Kuching-Pontianak di Indonesia yang akan bermula 12 Sept depan dengan kekerapan dua kali sehari dijangka memberi lebih fleksibiliti dan memudahkan lagi  pengembara dari kedua-dua belah sempadan.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin dalam kenyataan hari ini berkata pembukaan laluan itu bukan sahaja satu pencapaian penting dalam penerbangan tetapi juga membuktikan hubungan sejarah, budaya dan kekeluargaan yang erat antara rakyatnya. 

“Ia akan merangsang sektor pelancongan, perdagangan, pendidikan dan hubungan sosial terutama dalam kalangan penduduk di kawasan sempadan,” katanya. 

Beliau berkata kerajaan Sarawak menghargai langkah kerajaan Indonesia membuka semula Lapangan Terbang Supadio di Pontianak untuk penerbangan antarabangsa yang merupakan laluan udara strategik menghubungkan Kuching dan Pontianak, ibu negeri Kalimantan Barat. 

Lee berkata beliau telah dijemput secara rasmi bagi menghadiri majlis pelancaran tersebut tetapi tidak dapat hadir disebabkan komitmen rasmi lain, namun telah menyampaikan sokongan penuhnya menerusi rakaman video.  

“Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kerana tidak dapat hadir pada majlis istimewa pada hari ini. 

“Walau bagaimanapun, saya amat gembira dan ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada  Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) atas penganjuran Pesta Pelancongan Sarawak di Pontianak,” katanya dalam mesej berkenaan. 

Sementara itu, AirAsia Malaysia mengumumkan pelancaran dua laluan baharu dari Kuala Lumpur dan Kuching ke Pontianak sekali gus menjadi satu-satunya syarikat penerbangan antarabangsa beroperasi di ibu negeri Kalimantan Barat itu. 

Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu memaklumkan laluan baharu tersebut dilancarkan secara rasmi oleh Gabenor Kalimantan Ria Norsan bersempena Pesta Pelancongan Sarawak anjuran STB di Pontianak.

Menurut kenyataan itu pengembangan laluan tersebut susulan pertumbuhan pesat operasi syarikat berkenaan di Indonesia, termasuk terbaharu pelancaran laluan Kuala Lumpur-Palembang pada Julai dan perkhidmatan Kuala Lumpur-Semarang bermula September depan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan