AM

Hari Pahlawan: 'Sang Beret Merah' Undang Tangisan Penonton

31/07/2025 01:21 PM

IPOH, 31 Julai (Bernama) -- Ratusan penonton di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini tidak dapat membendung kesedihan ketika menyaksikan persembahan pantomin yang mengimbau tragedi  meragut nyawa sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 13 Mei lepas.  

Pantomin bertajuk ‘Sang Beret Merah’ yang berlangsung kira-kira 15 minit itu disertai oleh 20 pegawai dan anggota polis bersama 30 Ahli Persatuan Deklamasi Lakon Perak.

Persembahan itu turut diselitkan dengan deklamasi sajak oleh Timbalan Yang Dipertua Majlis Kebudayaan Negeri Perak Azmi Ismail dan wakil daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak ASP Samsudin Hussin dan Sarjan Mejar Detektif Jabatan Siastaan Jenayah Bashira Sharif.

Pantomin berkenaan berkisar tentang perjalanan anggota FRU yang ditugaskan sempena Perayaan Citra Ponami di Teluk Intan sebelum trak yang mereka naiki berlanggar dengan lori muatan batu kerikil.

Lebih memilukan apabila video yang memaparkan anggota FRU berkenaan turut mengiringi persembahan itu. 

Terdahulu, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Sambutan Hari Pahlawan Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2025 di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan dan menyaksikan persembahan pantomin itu. 

Dalam kemalangan pada 8.50 pagi, 13 Mei lepas, sembilan anggota FRU Unit 5 yang berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh maut manakala sembilan lagi cedera selepas trak yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Jalan Chikus–Sungai Lampam di Teluk Intan. 

Mereka yang terkorban ialah Sarjan Perumal a/l Sugunanathan, Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, Koperal Mohd Pozli Jaudin, Koperal Nurit Pandak, Koperal Amiruddin Zabri, Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, Koperal Akmal Muhamad, 35; Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33; Konstabel Akmal Wafi Annuar.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan