AM

RMK13: Kerajaan Teliti Had Umur Bersara Wajib

31/07/2025 08:21 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Had umur persaraan wajib akan diteliti semula untuk disesuaikan dengan peralihan Malaysia kepada negara tua, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu terkandung dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang dibentangkan Anwar yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat hari ini di bawah prakarsa kesembilan mengenai keadilan sosial dan kesaksamaan peluang untuk semua lapisan masyarakat.

Sementara itu, dokumen RMK13 dikeluarkan Kementerian Ekonomi hari ini menyatakan bahawa antara strategi kerajaan dalam persediaan menuju negara tua ialah memperkukuh ekosistem perburuhan dengan menyemak semula akta dan peraturan berkaitan, agar lebih responsif kepada perubahan demografi.

“Akta Umur Persaraan Minimum 2012 (Akta 753) akan disemak semula bagi memperkenalkan perundangan berkaitan penggajian semula selepas umur persaraan minimum.

“Cadangan untuk meningkatkan umur persaraan wajib penjawat awam mengikut skim perkhidmatan akan dikaji bagi membolehkan semakan semula Akta Pencen 1980 (Akta 227) dilaksanakan,” menurut dokumen itu.

Pada Mei lepas, Anwar berkata cadangan untuk menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 kepada 65 tahun wajar diberikan perhatian dan pertimbangan namun memerlukan kajian menyeluruh terlebih dahulu.

Sebelum ini, sebuah firma perundingan pencen global mendedahkan had usia persaraan di Malaysia ketika ini iaitu 60 tahun adalah antara yang terendah bukan saja di peringkat global tetapi negara serantau yang lain.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan