AM

MAIS Sambut Baik Tindakan SIS Forum (Malaysia) Gugur Perkataan Islam

31/07/2025 08:51 PM

SHAH ALAM, 31 Julai (Bernama) -- Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyambut baik tindakan SIS Forum (Malaysia) menggugurkan perkataan Islam daripada nama ‘Sisters In Islam’ yang lazim digunakan syarikat itu. 

Pengerusi MAIS Datuk Salehuddin Saidin berkata langkah SIS Forum (Malaysia) itu merupakan tindakan yang sangat wajar dilaksanakan dan mencerminkan kesediaan mereka untuk menghormati titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Ketua Agama Islam di Selangor.

Susulan tindakan itu, MAIS menyarankan semua pihak untuk tidak lagi merujuk syarikat itu dengan nama ‘Sisters In Islam’ dalam apa-apa kenyataan atau penerbitan pada masa akan datang.

Salehuddin berkata Sultan Selangor juga menasihati SIS Forum (Malaysia) dan mana-mana syarikat lain, pertubuhan atau organisasi untuk sentiasa menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan negeri serta merujuk pihak berkuasa agama negeri berhubung apa-apa perkara berkaitan Islam. 

“Di samping itu, baginda juga menyarankan agar SIS Forum (Malaysia) dan semua pihak untuk lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan atau penerbitan berkaitan agama Islam. 

“Ini untuk memastikan perkara yang disampaikan kepada masyarakat tidak bercanggah dengan ajaran Islam sebenar mengikut pegangan dan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Salehuddin berkata Sultan Selangor telah menyampaikan hasrat melalui MAIS agar SIS Forum (Malaysia) meneruskan aktiviti memberi kesedaran berhubung hak wanita dan undang-undang keluarga Islam menurut ajaran Islam sebenar. 

“Sebagai sebuah syarikat mempunyai pengaruh dalam masyarakat, SIS Forum (Malaysia) juga hendaklah menumpukan usaha untuk meningkatkan perpaduan dalam kalangan masyarakat demi keharmonian masyarakat negara ini,” katanya. 

Terdahulu, media melaporkan SIS Forum (Malaysia) menerusi mesyuarat agung luar biasa pada 11 Julai lepas memutuskan menggugurkan perkataan 'Islam' daripada nama digunakan syarikat itu, selaras dengan titah Sultan Selangor sebelum ini.

Syarikat itu kini menggunakan nama berdaftarnya SIS Forum (Malaysia).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan