KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Kerajaan menetapkan tiga strategi utama sebagai usaha pemeliharaan kesihatan bumi sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memastikan kehidupan generasi hari ini dan masa hadapan kekal sejahtera.
Menurut dokumen RMK13 dikeluarkan Kementerian Ekonomi hari ini, strategi berkenaan ialah Memantapkan Pengurusan Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Mempertingkatkan Pemeliharaan dan Pemuliharaan Biodiversiti serta Memperkukuh Pelaksanaan Ekonomi Kitaran dan Menambah Baik Pengurusan Sisa.
“Di bawah strategi pertama (Memantapkan Pengurusan Perubahan Iklim dan Alam Sekitar), kerajaan akan memperkenalkan Pelan Adaptasi Kebangsaan bagi menangani ancaman perubahan iklim dalam pelbagai bidang termasuk pertanian dan keterjaminan makanan, perhutanan dan biodiversiti serta kesihatan awam.
‘’Perundangan khusus berkaitan perubahan iklim juga akan dikuatkuasakan bagi mengawal selia pelaksanaan inisiatif tindakan iklim secara menyeluruh,’’ menurut dokumen itu.
Menerusi Mempertingkatkan Pemeliharaan dan Pemuliharaan Biodiversiti, kerajaan akan memberi penekanan kepada pengurusan konflik antara manusia dan hidupan liar serta pemeliharaan khazanah hutan, flora dan fauna di kawasan yang berisiko melalui pengukuhan perancangan pembangunan secara komprehensif.
Menurut dokumen itu, menerusi strategi berkenaan, usaha pemeliharaan kesihatan bumi melalui pendekatan berasaskan alam semula jadi termasuk restorasi kawasan hutan paya laut dan pemulihan terumbu karang akan diperluaskan.
Di bawah strategi Memperkukuh Pelaksanaan Ekonomi Kitaran dan Menambah Baik Pengurusan Sisa, usaha memperkukuh pelaksanaan ekonomi kitaran dan menambah baik pengurusan sisa menerusi penambahbaikan dasar, kawal selia dan mekanisme pelaksanaan serta penyediaan infrastruktur moden akan dipertingkatkan.
‘’Perundangan berkaitan ekonomi kitaran merentas pelbagai sektor akan digubal bagi mengawal selia aktiviti di sepanjang rantaian nilai, daripada pengeluaran sehingga pelupusan.
‘’Selain itu, mekanisme dalam menerima guna ekonomi kitaran akan turut ditambah baik, merangkumi pelestarian plastik, pengurusan biojisim dan buangan terjadual, pembangunan bahan api penerbangan mampan tempatan dan peluasan tanggungjawab pengeluar,’’ menurut dokumen itu.
Menurut dokumen berkenaan, dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), pelbagai usaha turut dilaksanakan untuk memelihara kesihatan bumi dan usaha itu menunjukkan pencapaian yang baik.
Antaranya kadar intensiti pelepasan gas rumah kaca (GHG) kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berdasarkan intensiti pelepasan pada 2005, telah berkurang sebanyak 37.1 peratus pada 2021.
“Pencapaian ini selari dengan sasaran pengurangan intensiti pelepasan GHG 45 peratus pada 2030. Kadar kitar semula isi rumah turut meningkat kepada 37.9 peratus pada tahun lepas (2024) daripada 35.4 peratus pada 2023. Sehingga 2024, sebanyak 16 peratus kawasan terestrial dan air daratan telah dipulihara,’’ menurut dokumen itu.
Selain itu, pelaksanaan Program Penghijauan Malaysia menerusi Kempen Penanaman 100 Juta Pokok turut mencapai sasaran pada tahun lepas, dalam usaha meningkatkan kesedaran kepentingan kawasan litupan hijau dan hutan, serta menambah baik ekosistem dan biodiversiti negara.
Dalam pada itu, beberapa dasar dan perundangan turut digubal sebagai langkah menangani kesan perubahan iklim dan meningkatkan pengurusan sumber alam antaranya Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0 dan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022-2030.
‘’Strategi Jangka Masa Panjang Pembangunan Rendah Karbon Malaysia juga telah dibangunkan bagi mencapai sasaran sifar bersih pada 2050,’’ menurut dokumen itu.
Pelaksanaan RMK13 bagi tempoh 2026 hingga 2030 bertemakan “Melakar Semula Pembangunan” adalah ikhtiar kerajaan untuk membuat pembaharuan terhadap agenda pembangunan sosioekonomi negara yang menyeluruh selaras dengan kerangka Malaysia MADANI.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial