KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Capital A Bhd dan AirAsia X Bhd (AAX) bersetuju melanjutkan tarikh akhir perjanjian jual dan beli saham (SSPA) melibatkan AirAsia Aviation Group Ltd (AAAGL) dan AirAsia Bhd (AAB) daripada 31 Julai 2025 kepada 31 Ogos 2025 atau mana-mana tarikh lain yang dipersetujui bersama.
Lanjutan itu bertujuan untuk Capital A dan AAX melengkapkan syarat-syarat terdahulu yang masih belum dipenuhi berkaitan AAAGL dan AAB.
“Langkah ini untuk memberikan lebih masa kepada Capital A dan AAX, antaranya bagi mendapatkan kelulusan dan/atau persetujuan daripada pihak berkuasa berkaitan, pembiaya/pemberi pinjaman dan/atau pihak ketiga.
“Selain itu, ia membolehkan AAX memuktamadkan syarat definitif dengan pelabur yang telah dikenal pasti berhubung cadangan pelaksanaan tawaran saham persendirian sebelum perjanjian disempurnakan,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Sementara itu, AAX hari ini bersetuju untuk melanjutkan tempoh bagi memenuhi syarat-syarat berkaitan di bawah SSPA yang masih belum dipenuhi sehingga 31 Ogos 2025.
“Langkah ini bagi memberikan lebih banyak masa kepada syarikat dan vendor (Capital A), antaranya untuk mendapatkan kelulusan dan persetujuan pihak berkuasa berkaitan, pembiaya/peminjam dan/atau pihak ketiga serta untuk syarikat memuktamadkan syarat definitif dengan pelabur yang telah dikenal pasti mengenai cadangan tawaran saham persendirian itu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial