KUCHING, 1 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Sarawak menyeru Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) supaya terus memperkasakan pendekatan berasaskan teknologi digital dalam usaha mengemudi pembangunan bandar raya ini, selaras dengan aspirasi menjadikan Sarawak sebagai kuasa ekonomi digital utama rantau ini menjelang 2030.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata langkah itu penting bagi memastikan Kuching kekal relevan sebagai bandar raya pintar yang mampan dan inklusif, berlandaskan pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 (SDE 2030).
“DBKU dan MBKS perlu bersedia terhadap perkembangan ekonomi digital dan teknologi, seiring perkembangan semasa seluruh dunia pada masa sekarang,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Memperingati Hari Bandaraya Kuching Ke-37 di sini hari ini.
Beliau berkata menerusi pelaksanaan SDE 2030, Sarawak kini berada di landasan untuk menerajui transformasi digital melalui pelbagai inisiatif termasuk pelaburan dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) serta pengembangan aliran data rentas sempadan bagi menarik pelaburan digital.
Mengulas peranan kerajaan tempatan, Abang Johari menekankan keperluan DBKU dan MBKS untuk menyokong perlaksanaan Pelan Induk Kelestarian Sarawak 2030 yang dilancarkan Mei lepas, ke arah mencapai matlamat negeri rendah karbon dan daya tahan iklim.
Selaras dengan tema sambutan tahun ini ‘Bandaraya Pintar Perpaduan, Mendakap Masa Depan Lestari’, beliau menggesa DBKU dan MBKS untuk menyesuaikan dasar, penyampaian perkhidmatan serta pendekatan libat urus bersama masyarakat dengan keperluan era digital serta cabaran perubahan iklim.
“Sebagai bandar raya yang ditadbir dua pihak berkuasa tempatan, Kuching mempunyai keunikan tersendiri dan memainkan peranan penting dalam menjayakan aspirasi pembangunan negeri,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng dan Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Hilmy Othman.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial