AM

Perhilitan Berjaya Tangkap Lima Ekor Gajah Liar Di Gua Musang

02/08/2025 06:55 PM

GUA MUSANG, 2 Ogos (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya menangkap lima ekor gajah liar di Kampung Lalang, Kuala Betis, di sini menerusi operasi yang dijalankan pada minggu lepas.

Ketua Operasi Translokasi Gajah Liar Kuala Betis Mohamad Zainuddin Busrah berkata kesemua gajah liar ini diberi nama Mek Mas, Mek Leha, Mek Ja, Mek Ti dan Anak Ouk dianggarkan berusia antara kira-kira setahun hingga 25 tahun.

"Seekor gajah betina liar berjaya ditangkap pada 27 Julai dan empat ekor lagi ditangkap pada 31 Julai lepas.

"Operasi terbabit melibatkan 26 anggota daripada Perhilitan Kelantan dan Terengganu serta Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Pahang," katanya ketika ditemui pemberita dekat Kampung Lalang, Kuala Betis hari ini. 

Mengulas lanjut, Mohamad Zainuddin berkata bagi operasi pemindahan haiwan terbabit pula, empat ekor gajah liar telah dipindahkan ke habitat asal haiwan berkenaan manakala seekor lagi akan dipindahkan esok.

"Operasi pemindahan bermula pada 3 petang semalam membabitkan ibu dan anak gajah, manakala dua ekor gajah liar pula telah dipindahkan hari ini dan seekor lagi esok.

"Operasi pemindahan ini turut dibantu oleh dua gajah denak, iaitu Rambai dan Cheri dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Pahang," katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan