KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Thailand dan Kemboja bersetuju untuk mematuhi gencatan senjata dengan teguh di sepanjang sempadan bersama mereka, dengan kedua-dua pihak mengekalkan kedudukan anggota tentera sedia ada serta tidak menambah kekuatan ketenteraan.
Menurut Minit Persetujuan Mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Sempadan AM (GBC) yang dikeluarkan selepas mesyuarat luar biasa GBC di sini hari ini, kedua-dua pihak juga perlu mengelak daripada melepaskan tembakan secara provokatif ke arah kedudukan atau pasukan lawan yang boleh mencetuskan ketegangan.
“Semasa mesyuarat, kedua-dua negara berjiran itu turut bersetuju melaksanakan gencatan senjata membabitkan semua jenis senjata, termasuk serangan ke atas orang awam, objek awam dan sasaran ketenteraan masing-masing.
“Thailand dan Kemboja juga bersetuju untuk tidak membina atau menambah baik sebarang infrastruktur ketenteraan atau kubu pertahanan melepasi kawasan masing-masing, serta tidak menggunakan sebarang bentuk kekerasan terhadap orang awam dan objek awam dalam apa jua keadaan,” menurut minit persetujuan itu.
Mesyuarat Luar Biasa GBC yang berlangsung di Wisma Perwira hari ini dipengerusikan secara bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Nasional Kemboja Jeneral Tea Seiha dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand Jeneral Nattaphon Narphanit.
Turut hadir sebagai pemerhati ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia Edgard D. Kagan dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.
Minit Persetujuan antara Thailand dan Kemboja turut merekodkan bahawa kedua-dua pihak mencapai kesepakatan untuk mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dalam layanan terhadap tentera yang ditawan, termasuk keadaan hidup mereka, tempat perlindungan, makanan dan rawatan perubatan sekiranya cedera.
“Anggota tentera yang ditawan hendaklah segera dibebaskan dan dipulangkan selepas pemberhentian permusuhan aktif, selaras dengan Artikel 118 Konvensyen Geneva Ketiga 1949 dan Rule 128 (A) of the Customary International Humanitarian Law,” menurut minit tersebut.
Minit itu turut menekankan bahawa, sekiranya berlaku konflik bersenjata, sama ada disengajakan atau tidak, kedua-dua pihak mesti segera mengadakan rundingan pada peringkat tempatan melalui mekanisme dua hala sedia ada, bagi mengelakkan keadaan daripada merebak di sepanjang keseluruhan sempadan.
Sehubungan itu, kedua-dua negara turut bersetuju untuk mengekalkan komunikasi yang tetap antara semua kawasan tentera dan unit-unit ketenteraan di sepanjang sempadan kedua-dua pihak, serta berusaha menyelesaikan semua isu secara damai dan mengelakkan sebarang pertembungan, menurut minit itu.
Minit itu turut menyatakan mengenai penganjuran Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Serantau (RBC) yang dijadual diadakan dalam tempoh dua minggu selepas mesyuarat hari ini, dengan tuan rumah akan ditentukan berdasarkan sistem giliran sedia ada.
Ia turut menekankan keperluan untuk mewujudkan saluran komunikasi tetap dan langsung antara Menteri dan Ketua-Ketua Angkatan Tentera kedua-dua negara.
Sementara itu, bagi meredakan ketegangan, mengurangkan sentimen negatif dalam kalangan masyarakat dan mewujudkan suasana yang kondusif untuk dialog secara aman, kedua-dua pihak turut bersetuju untuk tidak menyebarkan maklumat palsu atau berita palsu.
Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk menjadualkan Mesyuarat GBC seterusnya dalam tempoh sebulan selepas mesyuarat hari ini, dengan lokasi akan diputuskan kemudian.
“Sekiranya tidak, Mesyuarat Luar Biasa GBC harus segera diadakan dengan format yang sama seperti Mesyuarat Luar Biasa GBC ini, bagi membincangkan isu gencatan senjata,” menurut Minit Persetujuan tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial