KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Laporan awal nahas helikopter di Bentong pada 6 Feb yang meragut nyawa seorang kru darat mendapati, kru darat dari Indonesia dan juruterbang helikopter Bell 206L4 telah melanggar Prosedur Kerja Selamat (SWP) semasa melakukan hot refuelling, sehari sebelum kejadian.
Menurut laporan Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB), rakaman video pengisian minyak itu yang dilakukan sehari sebelum kejadian menunjukkan, kru Indonesia dan juruterbang helikopter bernombor pendaftaran PK-ZUV itu tidak mematuhi SWP yang ditetapkan bagi proses hot refuelling.
“Berdasarkan rakaman video PK-ZUV yang melakukan hot refuelling sehari sebelum nahas, didapati kru daripada pihak penyewa tidak mematuhi SWP yang telah ditetapkan. Ketidakpatuhan ini menimbulkan potensi risiko dan boleh membawa kepada keadaan tidak selamat.
“Rajah 5, Perenggan 1.4.1 (c), (e), dan (f) dalam laporan dengan jelas mentakrifkan SWP bagi pelaksanaan hot refuelling. Namun, seperti yang diperhatikan dalam Rajah 6, pengendali helikopter atau pihak penyewa gagal mematuhi prosedur ini,” menurut laporan diterbitkan di laman sesawang Kementerian Pengangkutan.
Laporan itu turut menyatakan bahawa punca berkemungkinan yang menyebabkan kejadian itu akan dimasukkan dalam laporan akhir.
Hot refuelling merujuk kepada proses mengisi minyak helikopter ketika enjinnya masih hidup dan bilah rotornya terus berputar. Helikopter ringan Bell 206L4 menggunakan kaedah ini bagi memenuhi keperluan operasi dan mematuhi jadual yang kritikal dari segi masa.
Mengikut SWP, hot refuelling hanya boleh dilakukan menggunakan tong minyak dan pam manual oleh kru yang terlatih dan berpengalaman, yang mesti menunggu pada jarak selamat dari kawasan pendaratan semasa helikopter sedang menghampiri untuk mendarat.
Sebaik sahaja helikopter mendarat, juruterbang perlu memastikan enjin berjalan pada tahap pusingan per minit (RPM) yang sesuai dan gear pendaratan dikunci bagi mengelakkan pergerakan ketika proses pengisian minyak dijalankan. Kru hanya boleh menghampiri helikopter selepas menerima arahan jelas (isyarat ibu jari ke atas) daripada juruterbang.
SWP juga menetapkan kru perlu menghampiri helikopter dari arah juruterbang dapat melihat mereka (hadapan/sisi) dan tidak dari arah belakang kerana risiko terkena bilah rotor ekor. Selain itu, kru mesti tunduk dan mengelakkan daripada mengangkat tangan ketika membawa peralatan pengisian minyak.
Namun, rakaman video sehari sebelum kejadian menunjukkan tindakan tidak selamat oleh juruterbang dan jurutera darat, yang menimbulkan potensi bahaya.
“Helikopter itu dilihat mengapung dengan bilah rotor utama masih berputar sambil bergerak lebih dekat kepada jurutera darat yang berada betul-betul di bawah cakera rotor utama. Kru sudah berada di bawah helikopter ketika ia masih mengapung dan menghampiri untuk mendarat, menunjukkan satu pelanggaran yang jelas terhadap prosedur ini.
“Ketidakpatuhan seperti ini menimbulkan potensi risiko dan boleh membawa kepada keadaan yang tidak selamat,” menurut laporan itu.
Seorang kru darat dari Indonesia maut selepas terkena bilah rotor helikopter, manakala juruterbang hanya mengalami cedera ringan apabila helikopter itu terhempas ketika cuba mendarat untuk mengisi minyak berhampiran kolam air panas di Kampung Janda, sepanjang jalan lama Kuala Lumpur-Bentong.
Helikopter yang menjalankan kerja udara untuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan beroperasi di kawasan tersebut sejak 21 Jan itu, dilaporkan hilang kawalan ketika mengapung di udara. Sebahagian Skid pesawat itu terkena permukaan pendaratan, menyebabkan ia terbalik dan terbakar.
Helikopter tersebut musnah akibat kebakaran selepas impak, kecuali bahagian tail boom yang kekal dalam keadaan baik.
Laporan itu turut menyatakan bahawa pihak penyewa (PT Zaveryna Utama) gagal mematuhi peraturan keselamatan, manakala pihak pemajak (MHS Aviation Berhad) bertanggungjawab menyelia dan memantau operasi bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan yang telah ditetapkan.
“Ketiadaan Pegawai Keselamatan daripada pihak pemajak untuk menyelia proses hot refuelling telah menyumbang kepada sikap sambil lewa kru, sekali gus meningkatkan lagi risiko operasi,” menurut laporan itu.
Laporan itu juga mengesahkan bahawa helikopter berkenaan telah diselenggara mengikut peraturan dan prosedur yang diluluskan, serta keadaan cuaca adalah baik dan tidak menjadi punca kepada insiden itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial