KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Pemilihan Kota Tinggi, Johor sebagai lokasi Hospital Pengajar Universiti (HPU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dibuat memandangkan belum ada HPU di zon selatan Semenanjung, menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud.
Beliau berkata taburan lokasi HPU sedia ada di Semenanjung kini tertumpu di kawasan Lembah Klang dan Pantai Timur, selain di Sabah dan Sarawak.
“Selain itu, keperluan pertambahan kemudahan rawatan pakar di kawasan Kota Tinggi dan lokasi yang strategik kerana berhampiran dengan satu daripada destinasi pelancongan terbaik dunia iaitu Desaru selain negara jiran Singapura dan Indonesia,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) yang ingin mengetahui rasional di sebalik pemindahan lokasi HPU USIM dari Nilai ke Kota Tinggi serta keperluan akademik, logistik, kebajikan pelajar dan pensyarah serta keberkesanan latihan klinikal telah diambil kira.
Mustapha berkata HPU itu akan menumpukan kepada penyelidikan, latihan pelajar perubatan, rawatan luar bandar dan klinik pakar bergerak, selain menyediakan wad rawatan melecur bagi kemalangan industri di Pengerang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial