JOHOR BAHRU, 13 Ogos (Bernama) -- Seorang wanita warga emas maut selepas kediamannya di Kampung Bukit Siput, Segamat, kira-kira 176 kilometer ke utara dari sini, dibakar pasangan kekasih yang dipercayai diupah sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau 'along’ Singapura dalam kejadian 25 Julai lepas.
Ketua Polis Johor CP Ab Rahaman Arsad berkata Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran membabitkan lima rumah yang mengorbankan mangsa berusia 72 tahun itu pada 4.30 pagi.
"Siasatan daripada pihak polis dan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor mendapati terdapat unsur khianat dalam kejadian kebakaran itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Beliau berkata polis Johor menubuhkan pasukan petugas bagi siasatan kes itu dan berjaya memberkas sepasang kekasih iaitu lelaki berusia 21 tahun dan teman wanitanya 19 tahun di Subang Jaya, Selangor seminggu selepas kejadian.
"Hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek, mereka mengaku diupah sindiket 'along' di Singapura untuk melakukan ugutan jenayah dengan khianat membakar rumah peminjam yang tidak membayar pinjaman," katanya.
Ab Rahaman berkata siasatan juga mendapati pasangan kekasih itu bergiat aktif melakukan jenayah khianat di sekitar Johor dan Selangor sejak Julai lepas dengan bayaran upah RM1,000 untuk satu tugasan.
"Ketika kejadian, warga emas itu tinggal bersendirian dan tiada ahli keluarga lain berada di rumah berkenaan dan tidak pernah menerima ugutan jenayah dan pinjaman disyaki dibuat ahli keluarga mangsa," katanya.
Mengulas lanjut, empat kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor dan menerima arahan pertuduhan.
Jelasnya suspek lelaki akan didakwa di Mahkamah Majistret Segamat esok atas sembilan pertuduhan mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan bagi kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat serta Seksyen 436 dan Seksyen 507 akta sama, masing-masing bagi kesalahan khianat dan menakutkan secara jenayah.
Beliau berkata kekasih lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis dan akan menjadi saksi pendakwaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial