SEREMBAN, 13 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan mewajibkan semua ketua jabatan dan penjawat awam di negeri berkenaan mengibarkan bendera di kediaman masing-masing sehingga 16 Sept ini.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata ketua jabatan diwajibkan memasang dua bendera iaitu Jalur Gemilang dan bendera Negeri Sembilan, manakala penjawat awam perlu mengibarkan sekurang-kurangnya bendera Malaysia di kediaman mereka.
Beliau berkata Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) telah mengeluarkan pekeliling mengenai perkara itu dua hari lepas kepada hampir 7,000 penjawat awam di negeri berkenaan untuk memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan kali ini.
“Kami bersetuju untuk mewajibkan semua ketua jabatan termasuk mereka yang tinggal di luar Negeri Sembilan mengibarkan dua bendera di rumah mereka iaitu bendera Malaysia dan bendera negeri.
“… ini adalah sebahagian daripada usaha kita untuk meningkatkan rasa cinta kepada negara sempena bulan kemerdekaan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Wisma Negeri di sini hari ini.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata pihaknya telah mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri berkenaan supaya lebih kreatif dalam menghias dan menyusun atur pemasangan bendera di bangunan masing-masing bagi membangkitkan suasana sambutan kemerdekaan tahun ini.
“Jangan hanya gantung dan letak di tiang, itu cara 10 dan 20 tahun lepas. Jadi kali ini kita ubahlah supaya nampak kemeriahan,” katanya, yang turut menasihatkan agar pemasangan bendera dilakukan dengan penuh tertib dan menghormati simbol kedaulatan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial