KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Keputusan Petronas untuk mengimport gas asli cecair (LNG) tambahan dari Amerika Syarikat (AS) adalah tertakluk kepada keupayaan dan keperluan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia tidak akan mengimport lebih daripada apa yang disyaratkan.
“Saya tidak fikir ini menjadi satu masalah kerana kita hanya mengimport apa yang kita perlukan dan berdasarkan terma komersial yang tidak akan membebankan Petronas dan negara,” kata beliau pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) yang ingin mengetahui impak prasyarat oleh AS untuk negara mengimport LNG tambahan berjumlah US$3.4 bilion setahun bersamaan 4.0 juta tan metrik setahun kepada Petronas.
Anwar berkata perlu diingat bahawa negara juga mengeksport dan jika harga itu kompetitif, projek tersebut dianggap conventionally viable dan ada kemunasabahannya.
“Kita import tambahan termasuk dari AS jika menguntungkan kerana keperluan kita dan hasil kita masih lagi diperlukan di Jepun, Korea dan China. Permintaan (daripada) China itu adalah tinggi,” kata beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial