GEORGE TOWN, 14 Ogos (Bernama) -- Kemudahan pejabat dan makmal kejuruteraan terbaharu Advanced Micro Devices Inc (AMD) yang tersenarai di Nasdaq (Bursa Saham Amerika Syarikat) di Bayan Lepas, Pulau Pinang, menggariskan komitmen syarikat itu untuk mengembangkan perkhidmatan perniagaan global dan operasi kejuruteraan di Malaysia.
Pejabat baharu di GBS by the Sea berkeluasan 19,416.74 meter persegi dan direka bentuk untuk menyokong lebih 1,200 pekerja serta makmal kejuruteraan berteknologi tinggi untuk memacu kemajuan dalam reka bentuk semikonduktor.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata ketika AMD meraikan kehadirannya selama lebih lima dekad di sini, pencapaian berkenaan menjadi bukti kukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan yang mampan dan berkembang maju, syarikat yang beroperasi di pulau itu boleh berkembang dan makmur.
“Memandangkan trend global beralih dengan pantas ke arah teknologi frontier (teknologi perintis) seperti kecerdasan buatan (Al), kerajaan negeri Pulau Pinang menerusi InvestPenang terus komited untuk menyokong pelabur yang berpandangan jauh seperti AMD dalam bidang transformatif ini.
"Matlamat kami adalah untuk melihat generasi pertama cip 'Made by Malaysia' (Buatan Malaysia) direka, dibangunkan dan dipacu dari Pulau Pinang seterusnya menjadi pemain penting dalam pasaran semikonduktor global," katanya pada majlis pelancaran AMD @GBS By The Sea di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid.
Sementara Sikh Shamsul Ibrahim berkata kemudahan baharu AMD di Pulau Pinang adalah bukti perkongsian yang kekal dan berkembang antara Malaysia dan peneraju teknologi global.
Beliau berkata dengan menempatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan keupayaan termaju di Pulau Pinang, AMD mencipta pekerjaan berkualiti tinggi dan memupuk ekosistem dinamik seterusnya bakat dan syarikat tempatan boleh berkembang maju bersama inovator global.
"Sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 kami, Strategi Semikonduktor Kebangsaan dan Rancangan Malaysia Ke-13, MIDA berbangga kerana menyokong pertumbuhan strategik AMD di Malaysia dan berharap untuk meneruskan perjalanan inovasi bersama AMD ini untuk beberapa tahun akan datang," katanya.
AMD dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas acara itu berkata pejabat baharu berkenaan mengukuhkan syarikat itu yang telah lama beroperasi di Malaysia dan mencerminkan keyakinannya terhadap bakat dan potensi rantau ini.
"Dengan keupayaan diperluas dan tumpuan kepada inovasi, kemudahan Pulau Pinang ini akan memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan AMD, pada masa sama menyumbang kepada ekosistem semikonduktor Malaysia," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial