PUTRAJAYA, 14 Ogos (Bernama) -- Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar menjadi individu pertama menerima pengiktirafan Hall of Fame di Maktab Ketahanan Nasional.
Beliau berkata pengiktirafan itu merupakan titik tertinggi dalam perjalanannya sebagai tentera.
"Saya merupakan Kohort pertama pada 2020.Setiap perjalanan, terutama dalam bidang ketenteraan, ini merupakan antara kemuncak pencapaian seseorang dan saya amat bersyukur kepada Allah," katanya selepas majlis pemasyhuran di sini hari ini.
Mohd Nizam merupakan alumni dan peserta perintis Kursus Maktab Ketahanan Nasional pada 2020, selain penerima anugerah institusi itu.
Pada tahun sama, Mohd Nizam kembali menggalas tanggungjawab sebagai Komandan Maktab Ketahanan Nasional yang kedua.
Sebagai bekas Komandan, Mohd Nizam telah memberikan sumbangan berharga menerusi pelbagai inisiatif strategik semasa pandemik COVID-19, termasuk pembangunan Joint Common Operating Picture (JCOP) dan pelaksanaan simulasi pengurusan pasca-Perintah Kawalan Pergerakan.
Sepanjang kepimpinannya, Maktab Ketahanan Nasional berkembang daripada Kohort 1 hingga Kohort 6, dengan penyertaan yang kini bersifat global melibatkan pegawai tinggi kerajaan luar negara dan perkhidmatan awam negeri.
Penerimaan Mohd Nizam ke dalam Hall of Fame bukan sahaja penghormatan peribadi tetapi pengiktirafan terhadap kepimpinan strategik, ketahanan mental dan visi jauh seorang Panglima Angkatan Tentera yang telah menempuh cabaran global.
Bermotokan Duty, Honour, Sacrifice, beliau menjadi inspirasi dan membuktikan bahawa ATM mampu meninggalkan legasi yang mengubah landskap pertahanan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial