KLANG, 14 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 2,000 pelajar dari 50 buah sekolah di Selangor yang terlibat dalam persembahan grafik manusia sempena sambutan Hari Kebangsaan memperuntukkan hampir 300 jam berlatih bagi menjayakan persembahan di Dataran Putrajaya, 31 Ogos ini.
Ketua Jurulatih Ahmad Hafiz Awaludin berkata peserta terbabit telah dipilih sejak Mei lepas sebelum mula berlatih pada Julai dengan menerapkan pelbagai elemen baharu sejajar dengan tema sambutan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”.
Beliau berkata pada peringkat awal, para pelajar berlatih di sekolah masing-masing menggunakan konsep Training of Trainers (ToT) sebelum digabungkan pada awal bulan ini dan dilatih selama lapan jam sehari mulai Isnin hingga Khamis selama dua bulan.
"Tempoh latihan bertambah berbanding tahun sebelum ini apabila persembahan grafik manusia akan diserikan dengan persembahan koir, jadi tempoh latihan perlu ditambah bagi membuat persediaan rapi," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada sesi latihan di Hotel KSL Esplanade di sini hari ini.
Ahmad Hafiz berkata fizikal dan mental para palajar juga sudah dimantapkan sepanjang latihan sebagai persediaan berdepan cuaca tidak menentu terutamanya membabitkan pentas terbuka.
Beliau berkata persiapan pasukan kendaliannya itu sudah mencapai 80 peratus dan akan memanfaatkan baki masa yang ada untuk memperkemas gerakan dan juga tarian para peserta.
Pasukan grafik manusia tahun ini bakal menampilkan pelbagai jenis gerakan menerusi 12 buah lagu termasuk medley Wau Bulan, Bapak Mek Datang, Dia Datang dan Sayang Kinabalu serta mengiringi Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan lagu tema sambutan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial