DUNIA

Malaysia, ASEAN Bincang Pelaksanaan Pilihan Raya Myanmar Pada Lawatan Kerja 19 Sept Ini

14/08/2025 07:07 PM

SEREMBAN, 14 Ogos (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata lawatan rasmi ke Myanmar pada 19 Sept bersama rakan sejawatnya dari Indonesia, Filipina serta Thailand antara lain membincangkan kaedah pelaksanaan pilihan raya yang dirancang di negara berkenaan.

Mohamad berkata pertemuan delegasi itu dengan Pemangku Presiden Myanmar mahu memastikan proses pilihan raya itu dijadualkan berlangsung pada penghujung tahun ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyat Myanmar.

Beliau berkata hasil lawatan itu akan dibentangkan kepada kepimpinan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt ini.

Menurutnya Myanmar juga perlu mematuhi sepenuhnya Konsensus Lima Perkara (5PC) termasuk gencatan senjata, dialog inklusif dan bantuan kemanusiaan tanpa halangan sebagai langkah utama ke arah memulihkan keamanan dan kestabilan negara berkenaan.

"Selagi keadaan keselamatan dan kestabilan politik di Myanmar tidak pulih serta kerajaan yang dipilih secara demokratik belum dibentuk, isu pelarian Rohingya tidak akan dapat diselesaikan. Bangladesh terpaksa menguruskan 1.3 juta orang Rohingya di negara mereka, khususnya di kawasan Cox's Bazar.

"Malaysia juga tidak terkecuali,  kita mengurus pelarian Rohingya ini hampir 150,000. Malaysia sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kita menerima mereka untuk sementara waktu sahaja bukan untuk selamanya," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan penyerahan Dewan Serbaguna Terbuka Berbumbung Sekolah Kebangsaan (SK) Lavender Heights, Seremban di sini hari ini.

Mohamad berkata beliau mahu mendapatkan penjelasan sama ada pilihan raya itu akan dilaksanakan secara menyeluruh memandangkan masih terdapat 63 bandar atau kawasan yang dikenakan darurat oleh Majlis Pertahanan dan Keselamatan Negara (NDSC) Myanmar.

Pada 31 Julai lepas, dilaporkan junta Myanmar mengumumkan penubuhan sebuah badan baharu bagi menganjurkan pilihan raya umum hujung tahun ini, sekali gus menamatkan perintah darurat yang berkuat kuasa sejak rampasan kuasa 2021.

Berikutan penubuhan Suruhanjaya Keselamatan dan Keamanan baharu yang turut dipengerusikan oleh Min Aung Hlaing, junta memaklumkan bahawa perintah darurat secara rasmi ditamatkan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan