AM

MCMC Anjur "Perlis Connect", Beri Panduan Penggunaan Internet Selamat

15/08/2025 07:25 PM

PADANG BESAR, 15 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) buat pertama kali mengadakan program “Perlis Connect” bertujuan memberikan panduan kepada orang ramai mengenai penggunaan Internet selamat termasuk buli siber dan penipuan atau “scam”.

Melalui program yang dianjurkan secara kerjasama dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Padang Besar Street di sini esok, MCMC juga mahu menangani isu berkaitan perayauan yang berlaku di beberapa tempat di Perlis.

Ketua Komersial Bernama Mastura Hassan berkata beberapa pihak turut dijemput membuka reruai berkaitan agensi masing-masing untuk berkongsi maklumat dengan pengunjung program.

"Antara pengisian program ‘Perlis Connect’ ini ialah tawaran diskaun 50 peratus bagi bayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada pengunjung. Kira-kira 2,000 pengunjung disasarkan hadir memeriahkan acara ini.

"Program ini turut melibatkan penyertaan usahawan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Perlis dan agensi kerajaan lain dengan 17 reruai, selain pelbagai aktiviti interaktif," katanya selepas menghadiri sesi raptai dan meninjau persiapan sempena penganjuran program itu di sini hari ini.

Turut hadir sesi raptai dan meninjau persiapan itu Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Program sehari bermula 9 pagi hingga 7 malam itu akan diserikan lagi dengan keberangkatan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang dijadualkan merasmikan program itu pada sebelah petang. 

Mastura berkata penganjuran program Perlis Connect turut mendapat sokongan kerajaan negeri, pihak institusi pengajian tinggi (IPT) di Perlis, rakan industri dan usahawan NADI yang menjadi penggerak komuniti setempat serta pihak berkuasa tempatan.

Beliau berkata ia diharapkan dapat meningkatkan kesedaran komuniti setempat mengenai kepentingan keselamatan Internet dan peluang digital yang tersedia sekali gus menggalakkan keterlibatan komuniti dan usahawan NADI serta pelajar IPT untuk aktif dalam transformasi digital.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan