PASIR GUDANG, 15 Ogos (Bernama) -- Hospital Pasir Gudang (HPG) kini menerima kemasukan petugas kesihatan dari seluruh negara yang dihantar oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai persediaan awal pembukaan hospital itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Ling Tian Soon berkata petugas berkenaan telah ditempatkan mengikut keperluan jabatan masing-masing selain pembahagian tugas turut dilaksanakan bagi memastikan kelancaran operasi.
“Walaupun Hospital Pasir Gudang telah mengumumkan penangguhan tarikh pembukaannya, kerja-kerja persiapan tidak pernah terhenti.
“Pelbagai peralatan perubatan dan peralatan bukan perubatan telah mula tiba di hospital dan pihak hospital sedang sibuk menyusunnya serta membuat proses pendaftaran,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.
Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata pembukaan HPG yang sepatutnya beroperasi 1 Ogos lepas secara berperingkat ditangguhkan ke tahun depan berikutan beberapa isu teknikal termasuk kekurangan petugas khususnya doktor serta jururawat.
Beliau berkata keputusan itu turut dipersetujui KKM dan kerajaan negeri bagi mengelak sebarang masalah yang akan timbul akibat kekurangan petugas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial