KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Sambutan ulang tahun ke-100 Persatuan Badminton Pulau Pinang tambah bermakna dengan sumbangan RM20,000 oleh CitaGlobal Berhad sebagai dorongan untuk melahirkan lebih ramai lagi bintang yang setanding legenda sukan itu Datuk Seri Lee Chong Wei.
Presiden Kehormat Seumur Hidup Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang juga Pengerusi Eksekutif dan Presiden CitaGlobal Berhad Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menyifatkan Pulau Pinang masih mempunyai ‘urusan belum selesai’ dalam memperkukuh ekosistem badminton negara.
“Sebab itu sebagai pemimpin badminton, saya sentiasa menghargai kepimpinan Pulau Pinang dan sepanjang saya menjadi presiden selama tujuh tahun, mereka telah banyak membantu saya memimpin dan mengembangkan sukan badminton bukan sahaja di negeri itu tetapi juga di seluruh Malaysia.
“Saya rasa masih ada perkara yang boleh dianggap sebagai ‘urusan yang belum selesai’. Penubuhan sebuah akademi serantau sempena sambutan 100 tahun ini perlu diberi perhatian. Ini kerana, walaupun kita sudah mempunyai pusat seperti Akademi Badminton Petronas di sini, usaha tersebut akan menjadi lebih bermakna sekiranya kita dapat menubuhkan sebuah akademi serantau di Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan cek berkenaan di Akademi Badminton Malaysia, hari ini.
Sementara itu, Presiden Persatuan Badminton Pulau Pinang Datuk Kah Kau Kiak berkata Chong Wei telah dilantik sebagai Duta Ulang Tahun Ke-100 dan bakal memeriahkan majlis gala pada 22 Nov ini.
Ditubuhkan pada 1925, Persatuan Badminton Pulau Pinang ialah persatuan badminton negeri tertua di Malaysia dan hingga kini kekal menjadi tempat melahirkan juara, dengan Chong Wei terus menjadi simbol kejayaan persatuan tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial