ALOR GAJAH, 16 Ogos (Bernama) -- Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Tunas Istimewa@KEMAS menjadi antara 42 “pengubah keadaan” atau game changer bagi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penubuhan tabika berkenaan, selaras dengan Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) dan termaktub dalam Akta Orang Kurang Upaya (Akta 685).
“Kita tahu bahawa anak-anak kita harus digali potensi sama ada anak-anak itu kanak-kanak biasa atau anak yang harus diberikan pendidikan melalui ekosistem yang istimewa.
“Lantas kita lihat bahawa anak-anak istimewa ini jangan dianggap sebagai bebanan, tetapi hikmah yang harus kita fikirkan mereka ini anak-anak syurga yang diamanahkan Allah kepada kita untuk kita pelihara dan didik, dan juga benar-benar jadikan mereka ahli syurga yang kita harapkan, insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Tabika Tunas Istimewa@KEMAS di Tabika KEMAS Kampung Air Hitam Pantai, Tanjung Bidara di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, Ketua Setiausaha KKDW Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Datuk Mohd Hanafiah Man.
Ahmad Zahid berkata penubuhan Tabika Tunas Isitimewa@KEMAS itu, akan dilakukan secara berperingkat bermula dengan tiga projek perintis di Melaka pada tahun ini.
Beliau berkata bagi projek perintis berkenaan, tiga Tabika KEMAS di Melaka dipilih membabitkan daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.
“Bagi peringkat nasional membabitkan Fasa 2, 2026 pula, KKDW akan mengambil pendekatan “1 Negeri, 1 Tabika” melibatkan 14 negeri dengan 14 tabika manakala bagi Fasa 3, 2027 pula, sasaran kita ada “1 Daerah, 1 Tabika” dengan penubuhan 126 tabika khas di seluruh negara,” katanya.
Ahmad Zahid berkata antara pengubah keadaan lain dilaksanakan KKDW termasuklah Pra-Tahfiz Tabika KEMAS, yang memupuk kanak-kanak cintakan Al-Quran sekali gus menanamkan rasa sayang kepada agama sejak daripada awal.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial