IPOH, 16 Ogos (Bernama) -- Pihak pemaju diingatkan supaya menyiapkan pembinaan taman rekreasi terlebih dahulu sebelum membangunkan sebarang projek komersial di tapak pembangunan Ipoh Sentral.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pembinaan taman rekreasi berkenaan antara rancangan pembinaan fasa pertama dalam pembangunan Ipoh Sentral yang dijangka siap dalam tempoh setahun.
Beliau berkata syarat itu ditetapkan kerajaan bagi memastikan rakyat tempatan menikmati manfaat pembangunan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
“Kita nak pemaju buat untuk orang ramai dulu iaitu syarat kita… kena siapkan taman rekreasi dulu kepada masyarakat setempat sebelum mereka boleh mendapat hasil kerana taman ini tiada apa-apa keuntungan untuk pemaju.
“Apa maksud pembangunan ini sekiranya rakyat setempat tidak dapat merasainya. Jadi untuk warga negeri Perak, khususnya warga di Ipoh saya dah bagi syarat kepada pihak pemaju dalam tempoh enam hingga 12 bulan kita nak siapkan fasa pertama taman rekreasi ini dibuka untuk orang ramai. Jadi, pihak pemaju kena ingat ini antara syarat utama,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Ipoh Sentral di sini hari ini.
Majlis perasmian pecah tanah itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad yang turut dihadiri Pengerusi MRCB Land Tan Sri Mohd Annuar Zaini.
Loke berkata projek yang terletak bersebelahan stesen kereta api Ipoh akan dibangunkan berkonsepkan pembangunan berorientasikan transit (TOD) dengan mengintegrasikan perkhidmatan rel, bas, teksi, e-hailing, laluan pejalan kaki dan lorong berbasikal.
“Konsep pembangunan ini selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Rancangan Induk Pengangkutan Negara serta menyokong hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 yang menjadikan TOD sebagai pemacu utama pertumbuhan bandar.
“Pendekatan ini menggalakkan gaya hidup lestari, mengurangkan kesesakan lalu lintas, memusatkan pembangunan di sekitar stesen dan hab pengangkutan serta memperkukuh peranan pengangkutan awam sebagai satu daripada pilihan utama rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Loke berkata semasa pembentangan RMK13 dua minggu lepas, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan telah menyasarkan 30 TOD dilaksanakan dalam tempoh lima tahun dan projek itu adalah TOD yang pertama dirasmikan selepas pembentangan berkenaan.
Beliau berkata projek Ipoh Sentral dibangunkan di atas tanah seluas 66.651 ekar dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM6.2 bilion serta akan menjadi hab pengangkutan moden yang menghubungkan pelbagai mod perjalanan.
Ia dilaksanakan dalam dua fasa iaitu Fasa 1 melibatkan pemeliharaan kawasan hijau seluas 6.31 ekar termasuk penambahbaikan landskap serta taman rekreasi, manakala Fasa 2 pula pembangunan bercampur di kawasan seluas 60.341 ekar dengan tempoh pembangunan dianggarkan selama 20 tahun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial