SUKAN

Mat Korro Benam Petinju Thailand Dengan Pukulan KO, Gegar Final MFN Mega 8

17/08/2025 05:55 PM

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Atlet negara Yuskhairul Yusof atau “Mat Korro” mencuri tumpuan peminat Muay Thai apabila menumbangkan petinju Thailand Mohama Arsuwan Mamingbakor “Iwan” menerusi pukulan knockout (KO) pada separuh akhir MFN International Mega 8 Pro Muaythai, di sini malam tadi.

Kemenangan penuh bergaya itu bukan sahaja menebus kekalahan terdahulu kepada lawan sama malah melayakkan Yuskhairul, 39, ke pentas final MFN International Mega 8 yang bakal berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands pada 6 Dis ini.

Yuskhairul berkata kelebihan berdepan lawan yang sama buat kali ketiga memberinya ruang untuk membaca gerakan dan menutup kelemahan Iwan dengan lebih berkesan.

“Alhamdulillah dari awal lagi saya nampak Iwan agak ragu-ragu untuk mara. Jadi saya cuba lepaskan sepakan, bila dia mahu cling, saya terus ke depan dan KO apabila pukulan terkena tepat,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mengenai final menentang bakat muda negara, Ahmad Hafizi Muhlisom, 23, beliau berkata fokus utamanya adalah kepada pelan permainan sendiri tanpa memandang rendah kemampuan lawan.

“Selain itu, saya juga akan menyertai beberapa kejohanan lain menuju Disember ini. Jadi saya perlu kekal tangkas dan pastikan berada pada tahap terbaik,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan