AM

Awasi Pengaruh Kehidupan Digital Kepada Penglihatan Kanak-kanak

18/08/2025 09:54 AM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Masalah penglihatan kini semakin kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak Malaysia namun banyak tidak didiagnosis sehingga ia mula menjejaskan tingkah laku, prestasi di sekolah atau perkembangan keseluruhan kanak-kanak terbabit.

Pakar Perunding Mata Kanak-Kanak dan Pakar Bedah Strabismus di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) Dr Fiona Chew Lee Min berkata kebanyakan kes berpunca daripada kesalahan refraktif (refractive errros) atau rabun, iaitu keadaan cahaya tidak tertumpu dengan betul pada mata disebabkan oleh bentuk bebola mata yang mengakibatkan penglihatan menjadi kabur.

Beliau berkata miopia atau rabun jauh dan astigmatisme adalah antara masalah penglihatan yang paling kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak Malaysia, dan kedua-duanya semakin meningkat.

"Hampir satu daripada dua kanak-kanak Malaysia mengalami rabun dan satu kajian tempatan melaporkan prevalens sebanyak 47.8 peratus dengan miopia sebanyak 30.2 peratus, yang terjadi apabila cahaya tertumpu pada hadapan retina menyebabkan objek jauh kelihatan kabur.

"Astigmatisme pula sebanyak 16.2 peratus (kes), disebabkan oleh lengkungan kornea yang tidak rata dan mengakibatkan kabur pada semua jarak manakala hiperopia atau rabun dekat, kurang berlaku iaitu pada 1.2 peratus yang disebabkan oleh cahaya tertumpu pada belakang retina, menjadikan objek dekat kelihatan kabur," katanya dalam kenyataan.

Sempena Ogos sebagai Bulan Kesedaran Kesihatan dan Keselamatan Mata Kanak-Kanak, beliau mengingatkan ibu bapa agar mengutamakan pemeriksaan penglihatan berkala walaupun anak mereka tidak mengalami sebarang simptom yang jelas.

Pakar bedah itu berkata walaupun masalah rabun adalah biasa, ia sering diabaikan ibu bapa kerana kanak-kanak jarang mengadu mengenai masalah penglihatan dan cenderung menyesuaikan diri dengan kekurangan mereka, menyebabkan ibu bapa beranggapan anak mereka tidak mempunyai sebarang masalah.

"Simptom yang ditunjukkan juga tidak ketara, seperti mengecilkan mata untuk melihat objek yang jauh, kerap mengelip atau menggosok mata, atau memegang buku dan peranti digital berdekatan muka. Dr Fiona berkata walaupun kelakuan seperti duduk terlalu hampir dengan televisyen sering dianggap sebagai tabiat buruk namun ia mungkin menunjukkan bahawa kanak-kanak berkenaan mempunyai masalah untuk melihat dengan jelas dan bermungkinan rabun jauh.

"Jika dibiarkan tanpa dirawat, kesalahan refraktif boleh membawa kepada masalah penglihatan yang lebih serius termasuk mata malas (lazy eyes) yang menyebabkan penglihatan menjadi lemah, masalah penjajaran mata, sakit kepala akibat ketegangan mata, masalah dengan persepsi kedalaman (ketidakupayaan untuk menilai jarak atau melihat kedalaman dengan betul) dan juga kesukaran untuk menumpukan perhatian," jelas beliau.

Risiko ini diburukkan lagi dengan tabiat gaya hidup moden seperti penggunaan gajet dan tempoh masa menatap skrin yang panjang, terutamanya dengan peningkatan ketara kebergantungan pada alat peranti digital pascapandemik COVID-19. Akibatnya, lebih separuh daripada pelajar Malaysia mengalami sakit kepala yang dikaitkan dengan tempoh masa menatap skrin yang berlanjutan.

Berhubung masa skrin untuk kanak-kanak, Dr Fiona berkata aktiviti itu sepatutnya diperkenalkan kepada kanak-kanak selewat yang boleh, sebaiknya pada usia tujuh tahun dan kanak-kanak yang berumur lebih tiga tahun disyorkan masa skrin tidak lebih satu jam setiap hari manakala kanak-kanak di bawah umur itu harus dielakkan terus daripada menonton skrin.

Beliau berkata menghabiskan masa di luar boleh melindungi penglihatan kanak-kanak dengan merehatkan mata mereka daripada peranti digital, membolehkan mereka menumpukan pada jarak yang pelbagai sambil mendedahkan mereka kepada cahaya matahari semula jadi bagi mengurangkan risiko rabun jauh.

Dr Fiona menggalakkan amalan 'peraturan 20-20-20' yang bermanfaat untuk semua peringkat umur, mudah namun berkesan yang beliau sendiri amalkan iaitu selepas melakukan kerja jarak dekat selama 20 minit, berehat selama 20 saat untuk memberikan tumpuan penglihatan kepada sesuatu berjarak 20 kaki.

Di samping itu, beliau berkata rawatan yang bersesuaian adalah kunci untuk melindungi penglihatan kanak-kanak termasuk cermin mata yang dipreskripsikan pakar yang kekal sebagai cara paling berkesan untuk membetulkan kesalahan refraktif pada kanak-kanak.

Menurut Dr Fiona, mereka yang memerlukan cermin mata harus memakainya secara konsisten untuk mengelakkan ketegangan mata dan membantu menstabilkan kesalahan refraktif.

Beliau turut menyangkal kebimbangan tidak berasas bahawa cermin mata akan melemahkan penglihatan kanak-kanak kerana preskripsi yang betul membantu mata untuk fokus dengan sebaiknya.

"Bagi kanak-kanak berumur 10 hingga 12 tahun, kanta lekap boleh diperkenalkan sebagai alternatif, tetapi penjagaan kebersihan yang ketat mesti diamalkan untuk mengelakkan jangkitan mata," katanya.

Dr Fiona menegaskan pemeriksaan mata secara berkala juga memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesihatan mata kanak-kanak, bermula seawal kelahiran, diikuti dengan penilaian mata secara formal pada usia tiga tahun.

"Sekiranya terdapat sebarang tanda masalah penglihatan, ibu bapa digalakkan untuk mengambil langkah proaktif dan mendapatkan penilaian kesihatan mata anak-anak mereka lebih awal," katanya.

Sementara itu, Ahli Dietetik Berdaftar di SMCV Chow Yu Fei berkata pemakanan merupakan faktor kritikal dalam melindungi penglihatan kanak-kanak namun sering diabaikan memandangkan diet seimbang ketika awal usia kanak-kanak menyokong perkembangan visual yang optimum, koordinasi otot mata dan keseluruhan fungsi mata. 

Beliau berkata nutrien utama seperti vitamin A, lutein, zeaxanthin dan asid lemak omega-3 memainkan peranan penting dalam mengekalkan penglihatan yang jelas dan melindungi retina daripada pendedahan cahaya yang berbahaya.

Chow turut menekankan bahawa kekurangan nutrien semasa peringkat awal ini bukan sahaja boleh menjejaskan penglihatan kanak-kanak tetapi juga meningkatkan risiko kerosakan mata pada masa hadapan.

."Nutrien ini boleh didapati daripada makanan harian seperti lobak merah, ubi keledek, telur, bayam, brokoli, jagung, salmon, makarel, ikan tempatan seperti ikan tenggiri, ikan kembung, ikan patin, walnut dan biji chia. Kekurangan vitamin A boleh menjejaskan keupayaan kanak-kanak untuk melihat dengan baik dalam keadaan cahaya malap dan dalam kes yang serius boleh menyebabkan kerosakan kekal pada kornea.

"Ketidakcukupan lutein dan zeaxanthin mengurangkan pertahanan semula jadi retina terhadap cahaya biru yang berbahaya, meningkatkan kerentanannya kepada kerosakan jangka panjang. Sementara kekurangan asid lemak omega-3 boleh menghalang perkembangan dan fungsi retina, memberi kesan pada kejelasan dan kecekapan pemprosesan visual," katanya.

Dengan memastikan pengambilan makanan yang kaya nutrien tersebut dalam sajian harian, Chow berkata ibu bapa mampu memberikan anak-anak mereka peluang terbaik untuk mendapatkan penglihatan yang kuat dan sihat sepanjang hayat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan