AM

Kerajaan Negeri, Persekutuan Bekerjasama Tingkat Infrastruktur Maahad Tahfiz - Exco

18/08/2025 02:32 PM

KUANTAN, 14 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Pahang telah bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi meningkatkan infrastruktur maahad tahfiz persendirian di seluruh negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Beliau berkata sebanyak RM3.5 juta turut diperuntukkan Kerajaan Persekutuan untuk 31 maahad tahfiz persendirian pada tahun lepas bagi memastikan kemudahan pembelajaran yang lebih baik.

“Kerajaan negeri melalui inisiatif Makmur Pahang pula telah membantu setiap maahad tahfiz persendirian ini dengan memberi RM2,000 setiap maahad. Ini telah berlangsung sejak tiga tahun lepas sehingga tahun ini,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Haris Salleh Hamzah (ADUN Lantikan) yang ingin tahu jumlah terkini institusi tahfiz yang berdaftar serta usaha yang telah dan sedang dilaksanakan untuk membantu memperkasakan prasarana, kebajikan pelajar dan pengurusan institusi itu. 

Sementara itu, Syed Ibrahim berkata setakat ini, sebanyak 136 premis tahfiz persendirian telah didaftarkan di seluruh Pahang, manakala baki 56 lagi masih dalam proses pendaftaran di bawah Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Beliau berkata sebanyak 37 tadika tahfiz di bawah kerajaan negeri telah mula beroperasi dengan mempunyai 157 guru dan menampung 1,180 pelajar di setiap DUN Pahang. 

Syed Ibrahim berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM7.4 juta setahun untuk menggerakkan institusi tahfiz termasuk bantuan kepada pelajar daripada keluarga B40 bagi membayar yuran sebanyak RM250 seorang, dengan jumlah keseluruhan bantuan kategori itu berjumlah RM2.52 juta.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan