AM

Malaysia Perlu Modenkan Sistem Perpaipan Air Dengan Kecekapan Dan Inovasi - TPM Fadillah

19/08/2025 01:25 PM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Malaysia perlu memodenkan sistem perpaipannya dengan cekap dan berinovasi bagi memperkukuh prestasi operasi serta mengolah semula imej sektor air sebagai model ketahanan, kelestarian dan kecemerlangan perkhidmatan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata negara kini berada pada titik penentu dalam sektor air, dengan keputusan yang dibuat hari ini akan menentukan kebolehpercayaan, kelestarian dan kesaksamaan perkhidmatan air untuk generasi akan datang.

“Tema (persidangan dan pameran) tahun ini merangkumi kedua-dua aspek, iaitu keperluan mendesak dan peluang: keperluan mendesak untuk memodenkan sistem paip kita, memperkukuh kecekapan operasi dan menangani cabaran kritikal kebocoran serta gangguan; serta peluang untuk mengolah semula imej sektor air Malaysia,” katanya ketika merasmikan Persidangan dan Pameran Khas Air Malaysia 2025, di sini hari ini.

Persidangan dan Pameran Khas Air Malaysia 2025 itu bertemakan “Bahan Paip, Reka Bentuk, Pembinaan, Pemantauan dan Penyelenggaraan untuk Sistem Air dan Pembetungan”.

Fadillah berkata pembaharuan akan berteraskan empat tonggak strategik iaitu kecekapan diutamakan, transformasi digital, perancangan ketahanan dan penglibatan pihak berkepentingan.

Fadillah berkata pembaharuan akan berteraskan empat tonggak strategik iaitu kecekapan diutamakan, transformasi digital, perancangan ketahanan dan penglibatan pihak berkepentingan.

Beliau berkata kerajaan akan melaksanakan program penggantian aset berasaskan keadaan, menyelaras piawaian bahan untuk melindungi daripada kakisan serta menubuhkan hab pengetahuan air sebagai pusat kecemerlangan bagi mengumpul, berkongsi dan memperluas amalan terbaik dalam pemulihan, inovasi dan tindak balas pantas.

“Ini bukan langkah kecil. Ia suatu langkah berani menuju masa hadapan, dengan aset kita bertahan lebih lama, sistem air kita lebih berdaya tahan dan rakyat menikmati kualiti perkhidmatan yang lebih tinggi setiap hari,” katanya.

Fadillah berkata transformasi memerlukan pembiayaan yang memberi ganjaran kepada inovasi dan pembiayaan utiliti air akan distruktur semula menerusi mekanisme berasaskan prestasi, manakala instrumen pelaburan hijau termasuk bon akan digerakkan untuk mempercepat pembangunan infrastruktur lestari.

“Ini bukan hanya mengenai instrumen kewangan. Ia satu pelaburan dalam daya tahan, penyelenggaraan berasaskan ramalan dan pelaksanaan infrastruktur pintar. Pulangan sebenar tidak hanya diukur dalam ringgit, tetapi dalam kepercayaan, kelestarian dan kecemerlangan perkhidmatan untuk rakyat,” katanya.

Fadillah berkata teknologi semata-mata tidak mampu memacu perubahan, kerana jurutera, juruteknik, operator dan pemimpin adalah pemacu sebenar kemajuan dan oleh sebab itu tenaga kerja yang bersedia untuk masa depan akan dibangunkan melalui akademi air, program bimbingan serta pembangunan bakat berterusan.

Beliau berkata akauntabiliti dan keyakinan awam akan diperkukuh menerusi piawaian yang lebih tinggi untuk kualiti paip, pemeriksaan wajib serta pelaporan telus menerusi Portal Akauntabiliti Paip, yang menyediakan laporan masa nyata mengenai gangguan, kadar kebocoran dan tempoh penyelesaian.

“Hari ini, kita bukan sahaja meletakkan paip yang kukuh, tetapi juga barisan kepercayaan, inovasi dan harapan, bagi memastikan sektor air Malaysia menjadi penanda aras untuk rantau ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Air Malaysia (MWA) Mohamad Hairi Basri dalam ucapan alu-aluannya berkata acara itu menjadi platform strategik untuk memperkukuh kerjasama rentas sektor, mempromosikan amalan lestari, meningkatkan keupayaan teknikal serta mewujudkan peluang inovasi dan pelaburan bagi memastikan sistem air yang bersih, boleh dipercayai dan bersedia untuk masa depan untuk semua rakyat Malaysia.

MWA menganjurkan Persidangan dan Pameran Khas Saluran Air Malaysia 2025 dua hari pada 19 dan 20 Ogos, yang menghimpunkan jurutera, pengamal industri, pembekal dan pihak berkepentingan dari seluruh Malaysia dan rantau ini.

Persidangan itu menunjukkan komitmen Malaysia dalam memajukan infrastruktur perkhidmatan air serta matlamat kelestarian.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan